Friday, November 27, 2009
simfoni aidiladha
Sayup-sayup takbir bergema memecah ruang angkasa melaungkan kebesaranNya. Sejak semalam lagi sudah kedengaran di hari Arafah 9hb zulhijjah. Laungan takbir lunak merdu si imam disahut oleh sekalian makmum yang menyertainya. Seiring dan sekata.
Aku masih termanggu dibirai katil, leka mendengar takbir bersahut-sahutan di antara masjid-masjid berdekatan. Sayu dan hiba menusuk jiwa. Aku bingkas bangun menyarung sehelai jubah cream dipadankan dengan sweater biru berjenama cheetah milik along semasa dia belajar di UTM dahulu. Cuaca diluar sungguh sejuk, jika tidak memakai sweater pasti menggigil kebekuan. Subuh tadi langit berdentam-dentum diiringi hujan renyai-renyai.
Jalan raya lengang dengan kenderaan tapi penuh dibasahi hujan pagi tadi. Walaupun hujan sudah reda tetapi angin tetap bertiup dingin, terasa hingga ke tulang. Aku melangkah masuk ke masjid, masih tidak ramai jemaah yang datang. Hanya tiga saf awal kukira-kira itupun renggang-renggang. Kulihat jam menunjukan jam 6.40, mungkin sebentar lagi mereka datang kerana solat sunat aidiladha akan dimulakan pada jam 7.00 tepat. Imam yang mengumumkannya selesai solat subuh tadi. Takbir masih lagi berkumandang selagi imam belum menyuruh jemaah bangun untuk solat. Jika diikutkan takbir disini lebih bersemangat daripada laungan takbir di tanah air tercinta. Di Malaysia, takbir dilaungkan dengan alunan sayu seperti menangisi pemergian insan tersayang padahal takbir adalah untuk meraikan kemenangan, perlu bersemangat dan berwibawa.
Tepat jam 7.00 waktu mesir, solat sunat Aidiladha dimulakan. Jemaah semua bangun memenuhkan ruang yang kosong, merapatkan saff antara bahu ke bahu. Imam memulakan rakaat pertama dengan tujuh kali takbir dan lima kali takbir pada rakaat kedua. Alunan merdu suara imam mengalunkan bacaan ayat-ayat suci menyegarkan jiwa setiap yang mendengarnya. Tenang. Selesai solat, imam berdiri diatas mimbar menyampaikan khutbah dimulai dengan takbir Allahu akhbar...Allahu akhbar. Si Imam mengupas tajuk berkenaan peristiwa didalam bulan Zulhijjah dimana hari Wida' Nabi yang terakhir jatuh pada tanggal 8hb. Sedih sungguh hati bila mengenangkan peristiwa yang berlaku keatas Junjungan kita Nabi S.A.W, penuh cekal dan tabah Baginda menghadapinya. Bertambah hiba lagi bila imam membacakan khutbah terakhir Rasulullah SAW yang disampaikan pada 9 Zulhijjah Tahun ke 10 Hijrah di Lembah Uranah, Gunung Arafah. Cara penyampaiannya itu membuatkan kurasa seolah-olah berada pada zaman dikelilingi para sahabat dengan suara esakan tangisan memenuhi lembah itu. Khusyuk aku mendengarnya hinggakan khutbah yang panjang terasa singkat.
.....bersambung
Thursday, November 19, 2009
Doa Insan Berkasih
Siti Musalmah yang pasrah berkenaan ketentuan Allah, membawa kehidupan luhur gadis Islam yang rajin berpuasa sunat, mengkhatamkan Al-Quran setiap tiga bulan dan bersolat malam di rumah Tuan Malik. Tingkah lakunya menjadi kebencian anak gadis Tuan Malik, Zur Haleza yang lebih sukakan hidup berfoya-foya daripada menatap buku-buku pelajaran. Siti Muslamah mengutip buku-buku Zur Haleza dan berazam menduduki peperiksaan demi peperiksaan demi menunaikan janjinya pada Hamzah, untuk menjadi insan yang cemerlang dunia dan akhirat.
Tuan Malik yang mabuk, semasa Siti Musalmah sedang membaca Al-Quran dan selesai solat malam. Tuan Malik terpesona melihat kejelitaannya malam itu dan mahu memperkosanya, tetapi diselamatkan oleh penyakit strok yang tiba-tiba menyerang pemuja arak itu. Dia meninggal pada malam kejadian dan Siti Musalmah melarikan diri ke madrasah yang selalu dibawa Mak Limah belajar Fardu Ain.
Kekosongan jiwa Azri Farouk yang mula terisi dengan keluruhan budi seorang gadis yang melafazkan kalimah al-Quran di banglo mewahnya, rasa kosong kembali apabila Siti Musalmah hilang dari banglo mewahnya. Azri Farouk rasa tertekan dan kehilangan yang amat sangat. Harapannya supaya Siti Musalmah dapat membimbingnya hancur berkecai. Dia semakin tertekan apabila tidak tahu membaca surah Yasin mengiringi jenazah Tuan Malik dan bertambah tertekan apabila Tuan Malik meninggalkan banyak hutang sehingga rumah dan kereta tergadai. Azri Farouk ikut Mak Limah pulang ke Felda dan berusaha mencari Siti Musalmah. Dia berjanji pada dirinya akan menjadi insan semulia Siti Musalmah demi mempertahankan cintanya pada gadis mulia dan luhur itu.
Menanti Siti Musalmah yang tidak pulang-pulang, Hamzah berpindah ke Mersing dan berjaya membina empayar perniagaan. Dia mencari Siti Musalmah di Johor Bahru. Sayangnya Siti Musalmah membawa dukanya pulang ke kampung Nelayan dan bercita-cita mahu menjadi peraih ikan. Dia berhasrat mahu berbincang dengan Hamzah tetapi Mak Su Senah memujuknya supaya lupakan Hamzah kerana Mak Intan sudah pun menetapkan hari pernikahan Hamzah.
Siti Musalmah pasrah dengan ketentuan Allah dan semakin mendekatkan dirinya kepada Allah supaya dapat melupakan Hamzah. Ketegasan sepupunya Salamiah berjaya membantunya membuka gerai-gerai di sepanjang pantai untuk menjadi peraih ikan. Usahanya mendapat tentangan lintah-lintah darat. Berkat sabar dan rajin berusaha akhirnya Siti Musalmah berjaya membuka Kampung Nelayan Sdn. Bhd. Menjadi usahawan berasaskan produk laut dan berjaya membangunkan ekonomi kampung nelayan.
Zamani berusaha mendapatkan cinta Siti Musalmah, gadis tercantik di kampung Nelayan. Gagal cara baik, difitnahkan sudah hanyut seperti Esah semasa tinggal di Johor Bahru. Salamiah pertahankan Siti Musalmah dan berjaya menghalau Zamani keluar dari Kempung Nelayan.
Hari pernikahan semakin dekat, Hamzah bermunajat kepada Allah, semoga mudahkan pertemuannya dengan Siti Musalmah. Zahari, rakan kongsi dan sahabat baiknya bertemu Salamiah di kongres usahawan di Johor Baharu. Pertemuan itu memberi harapan pada Hamzah yang Allah akan pertemukan cintanya yang luhur itu.
Zur Haleza yang kehilangan kekasihnya Encik Pilus hilang hampir gila apabila kandungannya semakin besar. Banglo mewah tergadai. Dia berhasrat mahu mencari Siti Musalmah. Dia tiba-tiba menjadi rindu pada suara membaca Al-Quran yang sayup-sayup terdengar setiap kali dia pulang ke rumah pada waktu subuh.
Hamzah pujuk Mak Intan lupakan hasratnya untuk menjodohkannya dengan Nur Marhani dan berkata yang dalam hatinya yang ada hanya Siti Musalmah. Mak Intan semakin marah, sakit hati dan tertekan. Dia ke kampung Nelayan dan terkejut melihat perubahan yang begitu ketara. Dia menuduh Hamzah curahkan hartanya pada Siti Musalmah. Dia menyerang Siti Musalmah dan sanggup bayar berapa sahaja asalkan Siti Musalmah mahu lepaskan Hamzah. Salamiah yang panas baran, sakit hati dan marahkan Mak Intan yang dirasakan begitu kurang ajar menghina adik sepupunya dan seluruh orang kampung Nelayan. .
Demi menjaga hati semua, Siti Musalmah berjanji akan lupakan Hamzah dan menerima Azri Farouk. Salamiah menentang, dia tidak mahu Siti Musalmah kecewa. Dia pujuk Zahari bawa Hamzah ke kampung Nelayan dan pertemukan dua hati yang saling mencintai tetapi diuji dengan pelbagai ujian hidup.
Dengan doa-doa yang sering mereka pohonkan setiap kali hati dilanda ingatan yang pilu dan terseksa, akhirnya doa tulus mereka diperkenankan Allah. Cinta jadikan dua insan itu semakin hebat memajukan diri, menjadi insan semakin hebat beribadat dan semakin dekat menyerahkan diri kepada Yang Maha Pencipta.
Monday, November 16, 2009
masihkah cintamu..
masihkah cintamu sungai mengalir
atau hanya pasir di pantai
berubah ketika ombak melandai.
Masihkah cintamu serumpun buluh
kukuh kejap dalam taufan
atau hanya dahanan kering
gugur ketika disapa ribut.
Masihkah cintamu kaktus di gurun
subur tanpa disirami air
atau hanya sekuntum sakura
layu dalam panas matahari.
Masihkah cintamu rerumput liar
hijau segar dalam kemarau
atau hanya lelalang kering
mudah melentuk ditiup angin.
Masihkah cintamu pungguk merindu
teguh cekal menanti bulan
atau hanya merpati liar
bila di dekati kau pun lari
Masihkah cintamu semut hitam
rela mati kerana gula
atau hanya sekawan kelkatu
hilang bila lampu terpadam
Masihkah cintamu si camar putih
kembali terbang ketika petang
atau hanya sang duyung sepi
merindu pulang pelaut malang
by : anaklaut
Thursday, October 22, 2009
Serikandi Islam : Durrah
DURRAH binti Abu Lahab adalah seorang anak yang baik. Abu Lahab adalah bapa saudara Nabi Muhammad. Nama sebenar bapa saudaranya itu adalah Abdu al-Izzi bin Abdul Muthalib.
Abu Lahab sangat benci terhadap Nabi Muhammad. Abu Lahab adalah musuh Islam yang utama. Ibu Durrah bernama Arwa binti Harb. Ibunya juga tidak suka kepada ajaran Islam. Ibunya juga tidak suka kepada Nabi Muhammad.
Pernah berlaku satu peristiwa Arwa sengaja meletakkan duri-duri di atas jalan yang selalu dilalui oleh Nabi Muhammad. Walaupun begitu Nabi Muhammad tetap sabar dengan tindakan Arwa itu.
Arwa sememangnya wanita yang ingkar terhadap Islam. Dia sanggup menghabiskan harta bendanya demi menghapuskan Nabi Muhammad sehingga dia dipanggil oleh Allah dengan nama Hammalat al-Hathab yang bermakna pembawa kayu bakar.
Durrah membesar dengan pelbagai rintangan dan cabaran. Dia sering melihat kekejaman yang dilakukan oleh bapanya terhadap orang Islam. Sikap angkuh kedua ibu bapanya menyaksikan bahawa keluarganya benar-benar mahu menghapuskan Islam.
Sikap angkuhnya terbukti apabila Nabi Muhammad mengajak Abu Labah beriman kepada Allah.
Abu Lahab berkata: "Sekiranya kata-kata Nabi Muhammad itu benar dan tidak salah, maka pada hari kiamat nanti saya akan tebus seluruh harta dan anak saya bagi menyelamatkan diri saya daripada seksaan api neraka".
Jangkaan Abu Lahab bagi menyelamatkan dirinya daripada seksaan api neraka semuanya meleset. Allah sudah berfirman dalam surah Asyura ayat 88 dan 89 yang bermaksud: Iaitu di hari harta dan anak-anak lelaki tidak berguna kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih.
Ketika Durrah semakin membesar Allah memberi petunjuk kepada dirinya. Durrah juga sering mendengar kehebatan ajaran agama Islam yang disampaikan oleh Nabi Muhammad.
"Saya percaya segala ajaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad adalah benar. Islam adalah agama yang patut dianuti oleh orang yang ingin mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat," kata Durrah sendirian.
Walaupun harta kekayaan bapanya melimpah ruah, Durrah tidak termakan dengan kata-kata penghinaan bapanya terhadap Islam. Harta benda bapanya itu tidak dapat menghalang tekadnya untuk memeluk agama Islam. Akhirnya Durrah memeluk agama Islam semasa dia berada di kota Mekah. Selepas memeluk Islam, dia berhijrah ke Madinah.
Meninjau kepada kehidupan rumahtangganya, dia berkahwin dengan Naufal bin al-Haris. Hasil perkahwinan itu mereka dianugerahkan tiga anak iaitu Uqbh, al-Walid dan Abu Muslim.
Suaminya terbunuh semasa perang Badar dan tidak sempat memeluk Islam. Selepas kematian suaminya itu, Durrah berkahwin pula dengan Dihyah al-Kalbi.
Semasa di Madinah, Durrah mendapat tentangan daripada sekumpulan wanita yang sama-sama berhijrah ke Madinah.
Seorang wanita daripada Bani Zuraiq berkata kepada Durrah: "Awakkah anak Abu Lahab yang kejam itu?" Mengapa awak ikut kami berhijrah? Tidak ada faedahnya awak ikut kami berhijrah. Malah hijrah awak tidak mendatangkan manfaat bagi diri awak".
Lalu Durrah menjawab: "Saya berhijrah bagi mendekatkan diri saya kepada Allah. Awak tidak patut berkata begitu terhadap saya. Memang benar bapa saya jahat dan kejam terhadap orang Islam. Tetapi saya tidak seperti bapa saya".
Durrah agak sedih lalu meninggalkan wanita Bani Zuraiq itu. Kemudian dia berjumpa dengan Nabi Muhammad. Dia menceritakan segala apa yang berlaku kepada Nabi Muhammad.
"Bertenanglah wahai Durrah," kata Nabi Muhammad.
Selepas Nabi Muhammad selesai mengerjakan sembahyang, baginda berkata kepada orang Islam yang berada di tempat itu: "Dengar sini semua. Saya tidak akan membenarkan keluarga saya diseksa atau disakiti oleh sesiapa. Kaum keluarga saya akan dapat syafaat daripada saya pada hari kiamat kelak".
Mendengar kata-kata Nabi Muhammad, wanita Bani Zuraiq itu menjadi insaf dan sedar atas kesilapannya menyinggung perasaan Durrah.
Wanita Bani Zuraiq itu pun berjumpa dengan Durrah dan berkata: "Wahai Durrah saya minta maaf di atas segala kekasaran bahasa yang saya ucapkan kepada awak tempoh hari. Saya sebenarnya tidak menyangka bahawa awak adalah seorang gadis yang berhati mulia. Awak tidak seperti Abu Lahab yang kejam itu. Maafkan saya".
Durrah menerima kata-kata wanita Zuraiq tersebut dan berkata: "Saya maafkan awak. Semoga persahabatan kita kekal dan diberkati Allah".
Sejarah Islam menyatakan bahawa, Durrah merupakan srikandi yang berbakat besar. Dia adalah seorang penyair daripada kalangan wanita Quraisy. Sepanjang hayatnya dia melaporkan sebanyak tiga buah hadis daripada Nabi Muhammad.
Selain itu, dia merupakan wanita yang pandai menghasilkan karya sastera. Durrah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 20 Hijrah.
nPetikan daripada buku Bidadari Syurga terbitan PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Tuesday, October 6, 2009
Novel Pilihan
Zell dan keluarganya merupakan pendatang baru di Tsubasa. Bapa Zell, Taka, bekerja dengan kerajaan sebagai Duta. Zell telah berkenalan dengan Yuki – seorang gadis yang menghidapi suatu penyakit ganjil, Xeroderma Pigmentosum (XP), yang boleh mengakibatkan kematian jika anggota badan terdedah kepada cahaya matahari. Zell dan Yuki juga mempunyai teman-teman rapat yang lain seperti Ryu, Kyu, Aoi dan Himai.
Kisah yang penuh debaran bermula selepas terjadi situasi luar jangkaan di mana hujan turun tanpa henti di tanah Tsubasa. Banjir besar telah melanda dan Zell telah pergi ke tempat tinggal Yuki yang terletak di tepi pantai untuk mencari teman wanitanya itu yang terperangkap dalam ribut.
Dalam pada yang sama, seluruh Tsubasa termasuk daerah selatan dan utara iaitu Yamaguchi dan Yamashita telah dikuasai oleh kuasa jahat kumpulan Yakuza. Presiden Tsubasa iaitu Tetsuya Onigiri, telah berkompromi dengan kumpulan Yakuza untuk menjayakan rancangannya. Tetsuya telah mengeluarkan arahan untuk menangguhkan pembukaan pintu Empangan Minami, sebuah empangan terbesar di Tsubasa sehingga mengakibatkan berlakunya banjir besar.
Selain daripada itu, Tetsuya juga ingin menculik Zell, dan membunuh Taka yang merupakan saksi utama dalam kes siasatan antarabangsa yang melibatkan Tetsuya. Komplot antara Tetsuya dan kumpulan Yakuza telah dibau oleh pihak penyiasat antarabangsa yang diketuai oleh Runa Kindaichi. Runa telah menjalankan siasatan dalam plot jenayah Tetsuya ini berdasarkan bukti-bukti yang ditemuinya.
Malapetaka yang berlaku bagaikan memberi 1001 hikmah kepada Zell dan Yuki. Setiap perkara yang berlaku telah memberi ruang untuk menyingkap kembali detik-detik pertemuan dan kisah percintaan mereka dari awal sehingga kini yang dipenuhi dengan kenangan yang gembira mahupun kehibaan. Gambaran-gambaran kenangan itu setia terpahat hingga terbawa ke dalam lena malam yang begitu panjang.
Namun kehidupan Zell dan keluarganya dikelilingi oleh ancaman dan ugutan sementara Yuki pula bertarung nyawa dengan penyakitnya yang tidak boleh terdedah kepada cahaya matahari menyebabkan hubungan mereka menjadi sangat terbatas dan sukar.
Dengan kuasa jahat Yakuza yang semakin berleluasa – ditambah pula dengan komplot dan konspirasi pihak kerajaan membuatkan segala permasalahan menjadi begitu rumit dan sukar diramal.
Apakah yang akan berlaku kepada Yuki dan Zell selepas itu? Apakah kesudahan perhubungan mereka? Adakah mereka akan menunggu sehingga banjir surut sedangkan mereka sedang diburu dan diancam? Berjayakah Yuki melawan penyakitnya?
Dan bagaimana pula dengan Runa bersama-sama dengan agen-agennya? Mampukan mereka mematahkan rancangan yang direncana oleh Tetsuya?Termanggu khayalan semalam...
Fatafeat juga antara rancangan yang membuat saya terpaku didepan tv. Mungkin anda tertanya rancangan apakah itu?hehe... sebenarnya ia adalah rancangan masak-memasak(malu). Fatafeat menampilkan chef-chef diseluruh dunia dalam pelbagai kategori memperlihat kehebatan bakat memasak mereka. Kebanyakannya ialah chef lelaki (bangga) antara yang saya minati ialah Jimie Oliver. Style memasak beliau cukup unik dan simple. Kebiasaannya beliau mempamerkan masakan tradisional dan menggunakan sayuran yang ditanam sendiri disekeliling rumah beliau. Dan yang paling penting minyak zaitun tidak pernah terlepas dari resepi beliau. Mungkin sebab itu beliau dinamakan Oliver. Agaknyalah.
Next job
Semenjak bermula puasa kerja saya bertimbun-timbun padahal study xabis-abis lagi. hehe... Transkrip tesis-kerja pertama yang perlu disiapkan. Transkrip ini milik seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa yang sedang menyiapkan tesis ph.D. Bukanlah banyak mana pun tapi disebabkan puasa, kemalasan melanda (alasan je tu) sehingga bertangguh-tangguh. Tajuk kali ini mengenai Arabic Speaking Skill dikalangan pelajar-pelajar melayu. Mungkin disebabkan ada kaitan dengan takhasus saya dapat juga saya siapkan akhirnya..(letih juga) Sesiapa yang mahu ditranskrip tesis mereka boleh hubungi saya ye (promote).
Dalam pada itu saya kena menyelesaikan urusan kuliah dan sijil asli milik sahabat yang sudah pulang ke Malaysia. Memang kesabaran diperlukan bila berurusan dengan ammu arab ni, beberapa kali berulang-alik masih tidak siap juga. Lega bila semua selesai juga.
Kerja dimalam raya menyiapkan tempahan satey untuk jamuan raya Kedutaan Malaysia sebanyak 2 ribu cucuk!!..WOWww..terpaksa bersengkang mata dan hampir-hampir pengsan hendak menyaipkannya. Nasib baik ramai yang membantu, jika tidak... raya tahun ni atas katil je (tido sepanjang tahun) Sembahyang raya pun terbayang-bayang si katil dan bantal memanggil-manggil.
Next job ialah memasang security access number di pintu rumah Wilayah Persekutuan. Pegawainya dah minta pasang sejak sebelum puasa lagi sampai sekarang tak selesai lagi. Rumah selangor, johor dan terengganu dah siap lama. Rumah Pahang pun ada minta untuk pasang tapi masih tak dapat beri jawapan sehingga yang satu ni siap sepenuhnya. Bersabar ye..hehe.
Kuliah
" 3 Oktober 2009 Tarikh Permulaan Sesi Perkuliahan Bagi Universiti Al - Azhar Dan Universiti - universiti Di Sekitar Negara Mesir" begitulah pengumuman dari website PMRAM, persatuan naungan kami. Sessi perkuliahan yang baru ni pasti mencabar dengan urusan dan subjek-subjek baru. Tekad dalam hati untuk memanfaatkan sepenuhnya masa-masa yang ada dan mengutip ilmu-ilmu yang masih tidak dimiliki. Dan semoga ini adalah tahun terakhir bagi saya dalam ijazah (sedih) Doakan ye kawan-kawan.
Friday, July 24, 2009
Tahnik - cara-cara (2)
Disini akan diterangkan cara-cara proses mentahnikkan bayi yang dibenarkan di dalam islam. Disarankan kepada ibubapa-ibubapa agar bayi tersebut ditahnikkan oleh orang-orang alim seperti ulama' ataupun syeikh supaya insyAllah bayi tersebut mengikuti jejak ketaqwaan mereka..aminnn..
Bahan : Buah kurma, Zabib(kismis), Air zam-zam @ air tawar, Gula Garam dan Asam keping
1. Buah kurma dikunyah lumat kemudian diambil sedikit unutk digosokkan ke langit-langit bayi
2. Kemudian buah zabib digigit dan disapukan ke mulut bayi
3. Cincin emas dicelupkan ke dalam gula,garam,asam keping dan kemudiannya digosokkan ke bibir bayi
4. Kemudian ambil cincin perak buat seperti yang tersebut tadi.
5. Suapkan air zam-zam atau air tawar ke mulut budak dengan camca kecil 3 kali suap
6. Kemudian diberi nama bayi (jika sudah ada nama pilihan) :
Sebaiknya diberi nama pada hari yang ketujuh daripada hari kelahiran
7. Bayi diletakkan dihadapan lalu bacakan :
وَحَفِظْنَاهَا ِمنْ كُلِّ شَيْطَاْنٍ الرَّجِيْمِ. 3 كالي
َولَقَدْ خَلَقْنَا اْلأِنْسَاْن مِنْ سُلاَلَةٍ مِنْ طِيْنٍ,ثُمَّ جَعَلْنَا النُّطْفَة َفِيْ قَرَارٍ مَكِيْنٍ,ثُمَّ خَلَقْنَا نُطْفَة َعَلَقَة ً فَخَلَقْنَا الْعَلَقَة َمُضْغَة ًفَخَلَقْنَا الْمُضْغَة
عظَاْمًا َفكَسَوْنَا الْعِظَاْمَ لَحْمًا ثُمَّ َأنْشَأْنَاْهُ خَلْقًا آخَرْ َفتَبَارَكَ اللهُ أَحْسَنُ الَْخَالِقِيْنَ
وإِنْ يَكَاْدُ الَّذِيْنَ َكَفَرُوْا َليُزْلِقُوْانَكَ ِبأَبْصَاْرِهِمْ لَمَّا سَمِعُوْا الذِّكْرَ َويَقُوْلُوْنَ ِإنَّهُ لَمَجْنُوْنٍ,وَمَا هُوَا ِإلاَّ ِذكْرٌ ِللْعَالَمِيْنَ, سكالي
قل أعوذ برب الفلق
قل أعوذ برب الناس
عْنكَ(جك فرمفوان َعْنكَ)السُّؤِ ِبأَلْفِ َألْفِ َلاحَوْلَ وَلاَقُوَّةَ ِإلاَّ بِاللهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيْم
9. Kemudian baca ِأنَّا َأنْزَلْنَاْهُ الخ
10. Tiupkan ke telinga kanan dan kiri budak sebanyak tiga kali.
12. Dan berdoa:
Thursday, July 23, 2009
Tahnik- satu kupasan (1)
Tajuk kupasan kita pada kali ini ialah berkenaan Tahnik. Tahnik ataupun sebutan mudahnya membelah mulut, dilakukan keatas bayi yang baru lahir adalah amalan dan sunnah Rasulullah S.A.W. Terdapat banyak hadis-hadis yang menyatakan proses-proses tahnik yang dilakukan oleh Nabi S.A.W pada zaman itu. Proses tahnik adalah membelah mulut bayi dengan menyuapkan sedikit kurma yang telah dikunyah halus ataupun makanan yang manis seperti madu.
Tahnik dalam erti kata sebenar ialah mengosok langit-langit bayi dengan kurma. Caranya ialah melembutkan sebiji kurma dengan mengunyahnya hingga halus kemudian disapukan keatas langit-langit bayi secara merata. Pengertian ini juga telah dibahaskan oleh ust. Khairul Anuar Salleh dalam kertas kerjanya " Tahnik" semasa dibentangkan pada Hari Keluarga BKPJM '09 18 Julai lalu.
Dari Abu Burdah, dari Abu Musa ra., katanya : "Aku telah dikurniakan seorang anak. Lalu aku membawanya kepada Nabi saw. dan baginda menamakannya dengan Ibrahim, men-'tahnik'-nya dengan kurma serta mendoakannya dengan keberkatan. Kemudian baginda saw. menyerahkannya kembali kepadaku." (HR Bukhari & Muslim)
Hadis diatas menyatakan amalan menyambut kelahiran bayi yang dilakukan oleh Nabi S.A.W seperti memberi nama dan khususnya tahnik serta mendoakan dengan doa yang baik keatas bayi itu.
Dan yang lebih utama, 'tahnik' ini hendaklah dilakukan oleh seseorang yang mempunyai sifat taqwa dan soleh. Ini adalah sebagai suatu penghormatan dan harapan agar anak ini juga akan menjadi seorang yang taqwa dan soleh.
Tahnik mempunyai pengaruh kesihatan sebagaimana yang diperkatakan oleh para doktor. Dr. Farouk Masahil dalam tulisan beliau yang dimuatkan dalam Majalah Al-Ummah, Qatar edisi 50 menyebutkan: Tahnik dengan ukuran apapun merupakan mukjizat Nabi S.A.W dalam bidang kedoktoran selamat empat belas abad agar umat manusia mengenal tujuan dan hikmah disebaliknya. Para doktor telah membuktikan bahawa semua bayi( terutama yang baru lahir dan menyusu) terancam kematian jikalau terjadi salah satu daripada perkara ini :
a. Jika kekurangan jumlah gula dalam darah (karena kelaparan).
b. Jika suhu badannya menurun ketika kena udara dingin di sekelilingnya."'
tintalughahwi™
Friday, June 5, 2009
Erti Cinta...
Mereka sedang membahaskan konsep cinta kepada Allah khususnya menurut ahli sufi. Masing-masing mengemukakan pendapat masing-masing di dalam majlis tersebut. Setelah itu mereka yang lain merasa ingin mendengar pula pendapat ahli sufi muda ini dalam hal tersebut.
"Sila kemukakan pendapatmu wahai pemuda iraq." kata mereka kepada Al-Junaid. Maka tertunduklah kepala Al-Junaid dan bersertalah air matanya mengalir dipipinya yang kemudian mengangkat kembali kepalanya seraya berkata:
"Orang yang asyik Cinta kepada Allah ialah orang yang membebaskan dirinya dari segala nafsunya, dan sebagai akibat daripada itu, dia hanya menyibukkan dirinya berzikir kepada Allah S.W.T."
Dia sentiasa melaksanakan segala tugas-tugas yang Allah suruhkan kepadanya, dia melihat kebesaran Allah dengan mata hatinya. Nur Allah dan kebesaran-Nya menguasai dan menghiasi seluruh jiwanya, sehingga kosong hatinya dari apa saja melainkan Allah. Dia telah minum air cinta yang jernih daripada-Nya.
Tersingkaplah segala Hijab sehingga jelas baginya. maka jika ia bercakap, dia tidak bercakap melainkan bersama Allah.
Dari mulutnya tidak keluar satu perkataan melainkan Allah. Demikian jua jika ia bergerak, maka gerak itu atas perintah Allah, dan jika ia mendiamkan diri, dia bersama Allah. Pokoknya segala apa saja gerakan, perkataan dan fikirannya hanyalah kerana Allah dan bersama Allah."
Mendengar keterangan yang sangat menakjubkan itu, maka menangislah kesemua ahli sufi yang hadir dan syeikh yang hadir, lalu berkata " Tidak ada penjelasan yang lebih baik dan terang selain itu." Mereka tersangat kagum kepada Junaid kerana masih terlalu muda dan berupaya mengeluarkan perkataan itu. "Semoga Allah tetap membimbingmu wahai mahkota kerohanian." kata mereka lagi.
Renungan : Hanya Cinta Allah cinta hakiki... mendambakan cinta hanya padaNya merupakan anugerah yang terindah... melakukan suruhan dan menjauhi larangan adalah bukti kecintaan sebenar kepadaNya.
Tuesday, June 2, 2009
Cinta Jin & Manusia....
Kaum jin menjalani hidup seperti manusia, ada cinta dan kasih sayang, ada benci dan hasad dengki yang membawa kepada pada pertengkaran serta permusuhan antara kelompok dan kekeluargaan mereka. Malah melarat hingga antara kota dengan kota dan antara negara dengan negara yang lain iaitu wilayah pemerintahan jin.
Buku “Dialog Dengan Jin Muslim” oleh Muhammad Isa Dawud menceritakan juga bahawa kaum jin seperti juga manusia yang amat menjaga kehormatan dan moral kaum wanitanya. Lelaki jin yang ingin berkahwin mengutamakan wanita jin yang mempunyai dara dan dara ini pula mesti dibuktikan di malam pertama pengantin. Menjadi masalah besar antara pengantin lelaki dan wanita sekiranya tidak terbukti mempunyai dara. Ini boleh memungkinkan pengantin lelaki meninggalkan pengantin perempuan buat selama-lamanya. Bercerai? Tidak dijelaskan.
Manusia membuktikan adanya dara pengantin wanita melalui kain putih yang dihampar di tempat pengantin pada malam pertama. Jika kain putih itu mempunyai kesan darah, bererti sahlah pengantin wanita itu masih dara. Persetubuhan jin lelaki dan wanita disebut sebagai sama caranya dengan manusia. Bezanya tubuh mereka jauh lebih kecil tetapi mereka boleh mencapai puncak keasyikan seperti manusia juga. Perasaan dan emosi mereka tidak jauh berbeza dengan manusia.
Jin wanita seperti juga wanita manusia, ada yang menjalani hidup seperti pelacur. Mereka melacurkan dirinya tetapi tidak dijelaskan untuk apa. Wanita manusia melacur untuk wang. Kaum jin lazimnya berkahwin dalam usia 170 atau 180 tahun tetapi ada yang berkahwin pada usia 200 hingga 250 tahun iaitu bersamaan 40 tahun umur manusia. Mereka seperti juga manusia hamil dan melahirkan anak. Mereka mengandung hingga 15 bulan lamanya. Kandungan mereka lebih berat dan juga menyusui bayi baru lahir untuk tempoh yang cukup-cukup lama. Bayi jin bergolek tanpa bergerak dan bersuara.
Jin mempunyai 7 hingga 9 janin dan dia boleh melahirkan bayi kembar 12. Bayi-bayi itu apabila membesar, mereka juga akan belajar hingga ke pengajian tinggi (perguruan) seperti manusia tetapi dengan suasana penghidupan jin.
Allah SWT berfirman :
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya, Dia menjadikan pasangan-pasangan dari jenismu agar kamu tenang bersamanya dan Dia menjadikan menjadikan di antaramu cinta dan kasih sayang”.
Manusia dan jin memiliki watak yang berbeza tetapi banyak peristiwa yang mendukung terjadinya perkahwinan antara jin dan manusia. Ada cerita yang mengesahkan Balqis lahir dari perkahwinan manusia dan jin. Jin muslim bagaimanapun menegaskan, perkahwinan manusia dan jin tidak berlaku melainkan ketika jin menampakkan dirinya dalam bentuk manusia tetapi ini jarang terjadi, kalau terjadipun ia semacam dongeng. “Kalau ada perkahwinan menyimpang seperti itu, ia tidak akan berlaku kehamilan”, tegas jin muslim itu. Menurutnya, sperma jin tidak sama dengan sperma manusia. Rahim jin juga bukan seperti rahim manusia.
Jin atau syaitan boleh menzinai manusia bila lelaki manusia yang mencampuri isterinya tanpa menyebut nama Allah. Kalau nak menghindarkan dari jin atau syaitan menzinai isteri kita, semasa hendak melakukan persetubuhan dengan isteri, hendaklah membaca ayat yang bermaksud :
“Bismillah, Ya Allah, jauhilah kami dari syaitan-syaitan dan jauhkanlah syaitan-syaitan dari apa yang Engkau anugerahkan kepada kami”.
Sebabnya kalau tidak membaca doa tersebut, kemungkinan ada syaitan atau jin perosak yang hadir saat itu dan kemudian ikut melakukan persetubuhan, bahkan bisa mengeluarkan maninya bersama mani lelaki tersebut. Malah tidak kurang juga jin dan syaitan menampakkan dirinya pada wanita-wanita yang lalai berzikir dan bertakwa kepada Allah dalam bentuk rupa suaminya lalu menggaulinya dan meninggalkan maninya dalam kelamin wanita itu. “Jika mani jin itu cukup banyak maka ia bisa merosakkan mani lelaki. Akibatnya terjadilah keguguran”, jelas jin Muslim itu.
Ada jin lelaki menceritakan kepadanya (jin Muslim) bahawa dia telah merosakkan kehamilan seorang wanita sebanyak 4 kali. Jin Muslim itu menyebut nama wanita berkenaan dan dari mana dia berasal. Kesimpulannya, dari penjelasan jin Muslim itu membawa pengertian bahawa “perzinaan” jin terhadap wanita manusia biasa bisa terjadi kerana kelalaian wanita itu sendiri dalam memelihara dirinya. Waallahu A’lam...
Sunday, April 19, 2009
Pesanan buat Wanita...
Friday, April 3, 2009
5 perkara jadikan hiburan haram
Diperhatikan pendapat ulama dalam memahami dalil daripada al-Quran dan hadis mengenai nyanyian, menunjukkan pada dasarnya ia tidak haram. Tetapi hukumnya akan berubah menjadi haram disebabkan oleh seni kata yang haram seperti perkataan lucah, memuja dan memuji perkara haram. Begitu juga cara persembahan yang tidak menutup aurat dan pergerakan yang menaikkan nafsu. Selain itu, dihidangkan minuman keras, persembahan yang melekakan di sepanjang malam dan sebagainya.
Imam al-Ghazali berpendapat bahawa mendengar nyanyian ada yang harus dan sunat. Selain itu, ada pula haram.
Nyanyian yang haram disebabkan oleh lima perkara yang mencorakkannya iaitu penyanyi, alat muzik yang digunakan, susunan kata, tanggapan pendengar terhadap nyanyian dan pendengar orang awam.
l Penyanyi
Penyanyi perempuan haram melihatnya dan mendengar suaranya kerana ditakuti berlaku fitnah. Kedudukan haramnya sama dengan melihat budak lelaki muda, jika melihatnya menimbulkan fitnah. Perkara ini haram kerana disebabkan kebimbangan yang membawa kepada fitnah, bukannya haram kerana nyanyian.
2 Alat muzik
Alat muzik yang digunakan dalam nyanyian ialah adat yang menjadi simbol kepada majlis maksiat dan minum arak seperti serunai, biola dan rebana qublah. Menurut al-Ghazali ketiga-tiga jenis alat muzik ini ditegah. Manakala yang lainnya adalah harus.
3 Seni kata
Seni kata yang digunakan mengandungi celaan, cacian serta membohongi Allah, rasul-Nnya dan sahabat seperti lirik yang dilagukan oleh golongan yang mencela sahabat semuanya haram. Begitu juga seni kata yang menggambarkan keindahan perempuan secara khusus di hadapan lelaki.
4 Tanggapan pendengar
Tanggapan pendengar terhadap nyanyian yang boleh mendorong kepada nafsu lebih banyak daripada yang lain seperti seorang belia yang masih muda remaja, maka haramlah hukumnya.
5 Pandangan orang awam
Pandangan seorang awam yang kurang perhubungannya dengan Allah dan suka mendengar nyanyian. Jika banyak masanya dihabiskan mendengar nyanyian, maka boleh membawa kepada kerja-kerja yang tidak berguna dan sia-sia.
Thursday, April 2, 2009
Tips Fikirkan tak Boleh!?
Pakar psikologist, Abraham Maslow mengatakan; memandang rendah dengan kebolehan sendiri terjadi adalah kerana secara sedar ataupun tidak, seseorang itu telah menerima di fikirannya bahawa tiada apa yang dia boleh lakukan untuk mengubah keadaan dirinya.
Teringat saya dengan cerita Eddy Murphy The Nutty Professor (di mana Eddy Murphy menjadi seorang yang gemuk Professor Sherman) dan ketika beliau ingin menurunkan berat badannya, beliau ke gym danbersenam sambil berkata "Yes I can!... Yes I can!".
Anda juga perlu menjadi seperti ini (bukan menjadi gemuk!). Setiap kali anda ingin membuat perubahan kepada diri anda, lawan fikiran dalaman anda yang sering mengatakan "tidak boleh" kepada "Saya Boleh! Saya Boleh". Teknik melawan fikiran tidak boleh ini dinamakan affirmation dan walaupun bunyi kelakar (corny), ia amat efektif. Ulangkan dengan megucap "Saya boleh" berkali kali... perlu ucapkan! Bukan cakap dalam hati sahaja...
Saya pula selalu membayangkan Professor Sherman setiap kali! Mesti saya tersenyum ketika berhadapan dengan keadaan "Fikirkan Tak Boleh".
Sunday, March 1, 2009
Mesej pendek tapi BERMAKNA..
Di dalam topi ada sedikit wang yang didermakan oleh orang yang lalu-lalang di hadapannya. Tidak lama kemudian seorang lelaki mengeluarkan beberapa keping syilingnya dan meletakkan ke dalam topi itu. Kemudian dia mengambil papantanda dan menulis sesuatu. Dia meletakkan papantanda itu di tempat asalnya supaya orangramai yang lalu-lalang dapat melihat tanda itu dengan jelas.
Tidak lama kemudian, topi itu dipenuhi dengan syiling. Lebih ramai yang mendermakan duit kepada budak lelaki yang buta itu. Tengahari itu, lelaki yang menulis tadi kembali melihat budak lelaki buta itu. Budak lelaki itu mengenali bunyi tapak kasut lelaki itu dan terus bertanya, "Adakah anda yang menukar papantanda saya pagi tadi? Apa yang anda telah tulis?"Jawab lelaki itu," Saya menulis apa yang benar sahaja. Saya menulis apa yang awak tulis tetapi dalam bentuk yang agak berlainan." Apa yang ditulis lelaki itu adalah "Hari ini sangat indah dan saya tidak dapat melihat keindahannya". Memang nyata kedua-dua ayat tadi menunjukkan bahawa budak lelaki itu buta tetapi ayat kedua lebih bermakna. Ia menyatakan bahawa orang yang lalu-lalang itu tadi sangat bertuah kerana tidak buta dan dapat menyaksikan keindahan alam ciptaan Allah swt. Oleh itu ayat kedua sangat efektif.
Kesimpulan:
Bersyukurlah dengan apa yang kita ada. Fikir dengan positif dan kreatif. Ajak manusia bersyukur dengan penuh hikmah dan nikmati kehidupan tanpa seribu satu alasan. Berkasih-sayang selalu dan apabila kehidupan memberikan anda seratus sebab untuk menangis, maka tunjukkan kepada dunia seribu sebab untuk tersenyum selalu. Hadapi hidup dengan penuh keyakinan, persiapkan diri untuk menghadapi masa hadapan, tingkatkan iman dan buangkan perasaan takut. Orang-orang bijaksana pernah berkata, " Di dalam perjalanan hidup, sekiranya anda ingin mengembara tanpa perasaan takut, anda mestilah mempunyai satu tiket yang dapat menghidu baik dan buruk."
sumber : credit
Monday, February 16, 2009
Airmata lelaki...
Prit! Di seberang jalan seorang pegawai polis melambaikan tangan memintanya berhenti. Harun menepikan kenderaannya agak jauh sambil mengumpat dalam hati.Dari cermin pandang sisi ia melihat pegawai polis itu. Wajahnya tak terlalu asing baginya. Hey,itu kan Usof, teman sepermainannya semasa di sekolah menengah duhulu. Hati Harun agak lega. Ia melompat keluar sambil membuka kedua lengannya.
'Hai, Usof. Gembira sekali saya bertemu kau...............' 'Hai, Harun.' Tanpa senyum. 'Aduh, saya ni sebenarnya nak cepat sangat nih.Saya memang agak terburu-buru.Isteri saya sedang menunggu di rumah. 'Oh ye ke?' Nampaknya Usof agak ragu. ' Ye la Sof,hari ini isteriku menyambut ulang tahun kelahiran. Dia dan anak-anak sudah menyiapkan semuanya. Tentu aku tidak boleh terlambat, kawan-kawannya pun sedang menunggu ' 'Saya faham. Tapi,sebenarnya kami sering memperhatikanmu melintasi lampu merah di persimpangan ini.'
Ooo, sepertinya tidak sesuai dengan harapan. Harun mesti ganti strategi. 'Jadi, kau nak menyaman aku ker? Tapi sebenarnya tadi aku tidak melanggar lampu merah. Sewaktu aku jalan lampu kuning masih menyala.' berdusta sedikit boleh melancarkan keadaan fikir Harun.
'Ok Run. Sebenarnya saya melihatnya dengan jelas.Tolong keluarkan lesen dan kad pengenalan. Dengan kesal Harun menyerahkan lesen dan kad pengenalan lalu masuk ke dalam kenderaan dan menutup kaca tingkapnya. Sementara itu Usof menulis sesuatu di buku catatannya. Beberapa saat kemudian Usof mengetuk kaca keretanya.Harun memandang wajah Usof dengan penuh kecewa. Dibukanya kaca jendela itu sedikit.
'Ah, satu inci cukup untuk memasukkan surat saman.'
Tanpa berkata-kata Usof terus kembali ke tempat dia bertugas Harun mengambil surat saman yang diselipkan Usof di sela-sela kaca kenderaan. Tapi,hei apa ini. Ternyata lesen
memandu dan ic dikembalikan bersama sebuah nota. Kenapa ia tidak menyaman aku. Lalu nota ini apa? Semacam gurauan atau apa? Tergesa-gesa Harun membuka dan membaca nota yang berisi tulisan tangan Usof.
'Run, Tahukah bahawa aku dulu mempunyai seorang anak perempuan dan seorang isteri yang cantik. Sayang, mereka sudah meninggal dunia. Dilanggar pemandu yang tidak memperdulikan lampu merah di persimpangan ini. Pemandu itu dihukum penjara selama 3 bulan. Sekarang pemandu itu bebas bertemu isteri dan memeluk ketiga anaknya lagi. Sedangkan anak dan isteriku sudah tiada. Hari ini aku sendirian menyesali peristiwa itu. Yang pergi tidak akan kembali lagi.Beberapa kali aku cuba memaafkan pemandu itu tetapi sangat sukar. Begitu juga kali ini bila sahabatku sendiri pemandu seperti pemandu itu. Maafkan aku Run. Doakan agar aku memperoleh ganti semuanya. Berhati-hatilah ketika memandu Run' - Usof Harun terhenyak. Ia segera keluar dari kenderaan mencari Usof.Namun, Usof sudah meninggalkan pos tempat ia bertugas.Sepanjang jalan pulang ia memandu perlahan dengan hati tak tentu sambil berharap kesalahannya dimaafkan.
Moral : Tak selamanya pengertian kita harus sama dengan pengertian orang lain..Boleh jadi suka kita tak lebih dari duka rakan kita . Hidup ini sangat berharga, jalanilah dengan penuh hati-hati, mengerti perasaan orang lain dan bertimbangrasa.
Monday, January 26, 2009
Penghayatan Adab Dlm Keluarga 2
Peringkat seterusnya pula, ibu atau bapa perlu menjelaskan sebab, kesan dan kelebihan setiap doa dan tindakan yang disuruh kepada anak untuk dilakukan supaya anak tadi tidak melakukannya dengan istilah ‘membabi buta’ atau taklid tanpa mengetahui sebab dan akibat perlakuan mereka. Penerangan tentang sebab dan akibat ini termasuklah balasan ganjaran dan kelebihan yang dijanjikan oleh Allah kepada Untuk memberi kefahaman ini, pemilihan waktu perlu tepat dan bersahaja. Pilihlah waktu ketika sedang berkenderaan dengan mereka dalam perjalanan yang panjang seperti balik kampung atau ketika waktu makan atau ketika berbual sebelum tidur.
Kanak-kanak adalah merupakan peringkat kejadian yang istimewa. Pada peringkat ini perasaan ingin tahu mereka sangat tinggi. Namun begitu, jika kita selaku ibu bapa mendidik mereka secara terlalu formal, didikan ini kurang berkesan. Hal ini berbeza kalau mereka pelajari di kelas tadika bersama-sama dengan kawan-kawan yang sebaya mereka yang telah disetkan dalam minda mereka bahawa ‘itu sekolah tempat saya belajar dan bermain’. Oleh itu, jika ibu atau bapa ingin menjelaskan kepada anak, cubalah bangkitkan perasaan ingin tahu mereka dengan bertanya soalan yang menyentuh ajaran adab kehidupan yang dipraktikkan mereka. Soalan perlulah mudah dan ringkas untuk peringkat mereka fahami.
Antara soalan yang boleh dikemukan adalah seperti “Kakak! Cuba kakak fikir kenapa kita kena baca doa apabila naik kereta?” “Anisah! Anisah tahu tak kenapa kita kena makan dengan tangan kanan?” “Anas tahu tak kenapa bila kita masuk rumah, kita kena baca doa dan beri salam?” Soalan seperti ini jika kena pada waktunya akan direspon oleh anak secara spontan bahawa mereka tidak tahu. Pada masa ini barulah ibu bapa menjelaskan secara mudah kenapa mereka berdoa dan bertindak mengikut lunas-lunas adab. Apa yang lebih penting kaitkan dengan perkataan “Inilah yang Nabi Ajar supaya....” jelaskan petikan hadis tentang peri penting setiap amalan tersebut dengan apa yang dibaca dan dilakukan dengan bahasa kanak-kanak yang mudah dan ringkas.
Namun ibu bapa perlu berwaspada tentang fakta yang betul daripada huraian sebagaimana yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. daripada hadis dan sunahnya dan tidak menambah-nambah fakta sendiri melainkan sesuatu yang dalam bentuk sains dan rasional. Sebagai contoh jawapan terhadap soalan “Kakak! Cuba kakak fikir kenapa kita kena baca doa apabila naik kereta?” boleh dijawab dengan bersandarkan hadis abu Dawud (1994: 599/2) secara ringkasnya "Allah gembira terhadap hambanya yang memohon ampun ketika berkenderaan dengan menyatakan kebanggaan-Nya kepada malaikat dengan firman-Nya "dia memang tahu tidak ada yang boleh mengampunkan dosa melainkan daku”. Sedangkan jawapan terhadap sesuatu soalan yang berbentuk sains dan rasional boleh dihuraikan secara lebih mencapah tetapi tetap menekankan penggunaan bahasa yang mudah dan ringkas seperti soalan kepada anak “kenapa kena basuh tangan sebelum makan?” boleh dijelaskan bahawa tangan kita kotor dengan pelbagai kuman yang boleh menyebabkan sakit perut atau cirit birit. Dalam menyatakan fakta ini, fakta tidak perlu setepat sebagaimana jika bersandarkan dalil daripada hadis.
Mengapa dalam menghuraikan sebab akibat atau tujuan doa serta amalan adab perlukan ketepatan fakta jika ingin disandarkan kepada hadis atau sunah nabi? Ini kerana Rasulullah s.a.w. sangat melarang menyatakan sesuatu fakta yang disandarkan kepadanya dalam keadaan faktanya salah atau terkandung pembohongan. Rasulullah s.a.w. bersabda (al-Bukhari, 1994: 107; Muslim, 2001: 4; al-Tarmidhi, 1994: 2148; Abu Dawud, 1994: 3166; Ibn Majah, t.thn.: 30; Ahmad, 1994: 551; al-Darimi, t.thn.: 233):
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ.
Terjemahan: Abu Hurairah r.a. berkata, “Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesiapa yang berbohong dengan menggunakan namaku secara sengaja, maka dia sebenarnya menempah tempat tinggalnya dalam api neraka.”
Justeru, ibu bapa perlu mengetahui serba sedikit kenapa dan mengapa setiap doa dan amalan adab kehidupan perlu dilakukan seperti yang dihuraikan oleh hadis dan sunah dengan membuat sedikit pembacaan daripada kitab muktabar seperti Riyad al-Salihin, al-Azkar karang Imam al-Nawawi dan Ihya’ ‘Ulum al-Din karangan Imam al-Ghazali serta Tarbiyat al-Aulad karangan ‘Abdullah Nasih ‘Ulwan sama ada yang berbahasa arab atau yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Ibu bapa pula jangan sampai terlalu takut dengan hadis ini sampai enggan mengaitkan sebab akibat dengan hadis dan sunnah. Ini kerana perkaitan ini juga merupakan satu proses pendidikan, iaitu mendatangkan rasa keyakinan dan penghormatan anak terhadap ketinggian kedudukan Rasulullah s.a.w. yang sewajarnya dijadikan idola dalam kehidupan seharian.
Sebagaimana dalam mengajar doa dan adab, anak sulung juga merupakan aset penting dalam mendidik adik-adiknya pula dalam menghuraikan tujuan serta matlamat berdoa dan melakukan amalan adab kepada terhadap adik-adiknya. Soalan ulangan boleh dikemukakan kepada anak sulong dengan maksud menerangkan kepada adik-adiknya. Sebagai contoh ibu bapa boleh mengemukakan soalan kepada kakak yang sulong “Kakak! jelaskan kepada adik kenapa kita kena baca doa dan memberi salam ketika masuk ke dalam rumah”. Insyaallah, anak yang sulong ini akan menjelaskan dengan kata-katanya yang mudah dan intonasinya yang menarik, antaranya mungkin dia akan berkata “Nanti syaitan yang ikut kita tidak boleh masuk ke dalam rumah bersama-sama kita”. Bahasa seperti ini mudah dan senang ditangkap oleh adik-adiknya apatah lagi diterangkan dalam lenggok dan nada kanak-kanak. Pada ketika ini, peranan ibu bapa hanya perlu memastikan faktanya mestilah betul dan tepat walaupun dia menggunakan bahasa kanak-kanak.
Thursday, January 15, 2009
Penghayatan Adab Dlm Keluarga
Tatacara adab kehidupan Rasulullah s.a.w. ini bukanlah perintah yang wajib tetapi sangat penting dalam memberikan perlindungan, keberkatan dan keselamatan daripada Allah S.W.T. kepada manusia. Oleh itu, tidak rugi jika setiap ibu bapa berusaha meningkatkan adab kehidupan ini dalam diri dan dalam masa yang sama mendidik anak dengan kebiasaan yang mabruk ini. Nilai adab kehidupan yang tinggi ini sangat dicemburui oleh syaitan yang sentiasa cuba menjauhkan manusia daripada mengamalkannya. Syaitan sentiasa berusaha untuk melupakan manusia daripada mengingati Allah S.W.T. dan dari mengamalkan adab kehidupan Rasulullah s.a.w. pada setiap tindakan yang manusia ingin lakukan. Satu hadis berbunyi (al-Tarmidhi, 1994: 3332; al-Nasa’i, t.thn.: 1331; Ibn Majah, t.thn.: 916; Ahmad, 1994: 6210),
Dalam hadis ini jelas menunjukkan bagaimana usaha syaitan menjauhkan umat Islam daripada melakukan amalan zikir selepas solat dan satu adab tidur, iaitu bertasbih, bertahmid, dan bertakbir sebanyak seratus kali sebelum tidur supaya mereka tidak mendapat pahala yang dijanjikan di alam akhirat. Sebab itu tidak pelik walau pun biasa mengamalkan adab dan sudah menjadi amalan harian, ada ketikanya umat Islam masih lagi terlupa untuk membaca doa dan mempraktikan amalannya.
Usaha pertama dalam membangunkan anak-anak dengan tatacara kehidupan beradab ialah dengan mengajarkan doa yang disunatkan untuk kita berdoa dalam melakukan sesuatu amalan harian. Justeru, sebagai satu proses pendidikan, bapa sebagai ketua keluarga perlu membacakan doa dengan kuat supaya ibu dan anak-anak boleh dengar dan mengikuti dengan baik doa yang diperdengarkan. Mengajar doa harian ini jangan dalam bentuk yang memaksa kepada anak-anak. Tetapi hendaklah diterapkan dengan keadaan santai dan bersahaja. Doa yang dibacakan pada peringkat awal mestilah dengan pendek-pendek, satu atau dua perkataan sekali supaya boleh diikut oleh isteri dan anak. Peringkat kedua setelah anak boleh mengikut dengan baik, bacaan doa tersebut disambung kepada lebih panjang, iaitu tiga atau empat perkataan sekali.
Setelah beberapa ketika Doa yang diperdengarkan hari-hari ketika menaiki kenderaan, turun kenderaan, masuk dan keluar rumah, memula dan menyudahkan makanan, berpagi dan berpetang, ketika hujan turun, ketika menaiki jambatan, dan lain-lain, jika tidak seminggu, dua minggu, atau sebulan hingga ke beberapa bulan, akhirnya semua doa-doa ini akan diingati dengan baik oleh isteri dan anak-anak.
Sekalipun sesuatu doa itu panjang, tetapi jika diperdengarkan secara berterusan daripada mulut sang ayah, akhirnya isteri dan anak akan dapat menghafalnya dengan baik dan sempurna. Satu perkara yang penting juga, iaitu tumpuan usaha perlu dilipat gandakan kepada anak yang pertama atau sulong untuk mengingati doa harian yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. ini secara berterusan, ini kerana anak pertama sangat membantu adik-adiknya untuk mengingati doa yang telah dihafalnya dengan lebih praktikal dan bersahaja serta menggunakan bahasa kanak-kanak yang mudah diikuti oleh adik-adiknya berbanding cara bacaaan ibu dan ayah mereka.
Ketika tahap ini, kadang-kadang anak ini menjadi pengingat kepada ayah dan ibu serta adik-adiknya agar berdoa ketika dia bertemu dengan sesuatu situasi yang perlukan bacaan doa. Sebaliknya pula jika anak ini lupa, ibu atau ayah pula berpesan untuk membaca doa antara mereka dan berpesan kepada anak-anak. Dengan ini, amalan doa ini akan terus dapat diamal dan dijayakan pengamalannya tanpa henti. Begitu juga doa ini juga perlu dibaca sama ada ketika bersama ahli keluarga sendiri atau ada orang luar yang menyertai keluarga. Ini juga merupakan satu proses pendidikan kepada ahli keluarga sendiri dan ahli keluarga orang lain.
Pengalaman seorang pengamal doa ini mendapati doa yang selalu diajarkan kepada anak-anaknya mampu pula mendorong ibu bapa mertua, dan ipar duai yang menumpang sekali dalam keluarganya ketika berpegian bersama ahli keluarganya untuk mengamalkannya pula dalam keluarga mereka atau keluarga baru mereka. Mungkin kerana malu atau mungkin kerana seronok melihat dan mendapati anak-anak kecil sekalipun doa itu panjang sudah boleh menghafal dan mengamalkannya dalam kehidupan harian mereka berbanding mereka yang lebih dewasa yang masih belum mampu menghafal dan mengamalkannya.
Perkara kedua pula mengikuti adab yang berbentuk tingkah laku Rasulullah s.a.w. Perkara asas dalam tingkah laku ini ialah mengajarkan anak-anak dengan memulakan sesuatu perbuatan yang baik dengan dimulakan dengan tangan atau kaki kanan. Ini kerana Rasulullah s.a.w. amat memberati perkara ini dalam banyak perkara kehidupan beliau. Satu hadis menjelaskan (al-Bukhari, 1994: 408; Muslim, 2001: 395; al-Tarmidhi, 1994: 553; Ibn Majah, t.thn.: 395):
Dalam riwayat al-Nasa’i (t.thn.: 418 dan 4973) dan Abu Dawud (1994: 3611) terdapat tambahan “Dengan setiap perkara atau urusan yang baik (Baginda s.a.w. sedaya upaya menggunakan sebelah kanannya).” Namun cuba perhatikan bayi anda, secara purata pada pandangan penulis yang telah memiliki empat orang anak, anak-anak ini sejak bayi akan suka memegang sesuatu dengan tangan kiri mereka. Sama ada memegang botol susu atau memegang biskut, mereka memegang dengan tangan kiri. Begitu juga apabila mereka hendak menyarungkan kaki untuk memakai kasut atau selipar, mereka terdorong untuk menyarungkan kaki kiri dahulu. Perlakuan ini, mungkin dorongan daripada bisikan syaitan kerana perlakuan anak ini merupakan amalan syaitan yang ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w. yang menjelaskan (Muslim, 2001: 3764; Abu Dawud, 1994: 3283; Ahmad, 1994: 4309),
Oleh itu, untuk mendidik mereka dengan kebiasaan adab menggunakan tangan dan kaki kanan sebagai ayah atau ibu, mereka perlu tukarkan pegangan anak terhadap makanan daripada tangan kiri ke tangan kanan mereka sambil berpesan agar menggunakan tangan kanan dan elakkan daripada menggunakan tangan kiri. Pesanan hendaklah pendek, ringkas dan jelas seperti “Kakak! Gunakan tangan kanan”, “Sofiah, sarung kaki kanan dulu”. Tindakan ini, perlu diajarkan sekalipun anak itu belum boleh bercakap.
Pesanan ini, perlu dilakukan berterusan sejak anak mula memegang makanan mereka atau mula menyarungkan kaki ke dalam kasut atau selipar sehinggalah sampai satu tahap mereka janggal untuk memegang dengan tangan kiri atau menyarung dengan kaki kiri dahulu. Dalam proses ini, didapati anak yang belum boleh bercakap sekalipun jika selalu ditukarkan pegangan tangan mereka dari tangan kiri ke tangan kanan atau membantu menyarungkan kaki kanan dahulu berbanding kaki kiri disamping pesanan ingatan, mereka akan melakukan sendiri dengan hanya berpesan kepada mereka...bersambung..