Sunday, January 11, 2009

Kepentingan Kehidupan Beradab

Penulis terpanggil menceritakan satu pengalaman tentang peri pentingnya kehidupan Rasulullah s.a.w. sebagai jaminan keselamatan, kesejahteraan dan kebahagian rumahtangga. Cerita ini merupakan cerita yang dikongsikan kepada khalayak pembaca tentang pengalaman seorang pengamal adab kehidupan Rasulullah s.a.w. yang mendapat manfaat daripada adab tersebut. Beliau sememangnya sejak zaman bujangnya sangat perihatin tentang doa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. ketika masuk ke rumah. Doa ini dipetik daripada riwayat al-Tarmidhi (1994: 4432), iaitu:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ خَيْرَ الْمَوْلَجِ وَخَيْرَ الْمَخْرَجِ بِسْمِ اللَّهِ وَلَجْنَا وَبِسْمِ اللَّهِ خَرَجْنَا وَعَلَى اللَّهِ رَبِّنَا تَوَكَّلْنَا.
Terjemahan: Ya Allah ya Tuhan! Sesungguhnya aku meminta kepadamu sebaik-baik tempat masuk dan sebaik-baik tempat keluar. Dengan nama Allah kami masuk dan dengan nama Allah kami keluar dan kepada Allah S.W.T., Tuhan kami, kami bertawakkal.

Beliau berkahwin dan dikurniakan seorang bayi yang masih kecil sebagai anak pertama mereka. Satu malam sewaktu beliau tiga beranak balik daripada kampung mereka, mereka terlupa membaca doa ini yang selalu diamalkan bersama-sama kerana kepenatan. Dalam beberapa ketika selepas masuk ke rumah, bayi mereka mula menangis dengan tangisan yang kuat dan berterusan. Pelbagai usaha seperti seperti memberi susu, menukar lampin, menyapu minyak angin ke perut bayi mereka kerana berkemungkinan kembung perut dan membuaikannya di buaian, tetapi semua tindakan ini tidak berjaya untuk menghentikan tangisannya. Usaha kedua yang dilakukan oleh beliau suami isteri pula ialah dengan membacakan surah Yasin, ayat al-Kursi dan al-Ma‘uzat yang disapukan kepada bayi mereka, tetapi usaha ini juga tidak berjaya menghentikan tangisannya. Ini diikuti pula dengan beliau bangun dengan solat hajat, minta dilindungkan Allah S.W.T. daripada segala ganguan terhadap bayi, namun masih tidak berjaya. Secara tiba-tiba sang suami bertanya kepada isterinya: “Eh! Tadi kita masuk, kita baca doa ke tidak?” Isterinya menggeleng bersetuju bahawa mereka lupa untuk membaca doa masuk ke rumah seperti yang selalu mereka amalkan. Lalu si suami mendokong bayinya yang masih menangis dan mengajak isterinya keluar daripada rumah bersama-sama. Beliau seterusnya mengajak isterinya masuk kembali ke dalam rumah dengan membaca doa masuk ke rumah, memberi salam dan melangkah masuk ke dalam dengan kaki kanan. Dengan izin Allah S.W.T. percubaan kali ini berjaya memberhentikan tangisan bayi mereka. Dalam beberapa ketika selepas bayi berhenti menangis, bayi itu terus tidur dengan nyenyak. Sejak dari itu, mereka berdua bertambah yakin terhadap kesan doa dan adab kehidupan Rasulullah s.a.w. terhadap kehidupan mereka sehingga mereka semakin memberi perhatian dalam banyak aspek kehidupan mereka untuk mengikut tatacara adab yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w.

Adat orang tua-tua selalu melarang kita supaya pulang segera sewaktu senja menjelang tiba. Begitu juga apabila senja menjelang, pintu dan tingkap rumah hendaklah ditutup rapat. Penulis sendiri masih terngiang-ngiang dengan jeritan ibu yang menyuruh tutup segala tingkap dan pintu rumah sewaktu senja menjelang. Begitu juga mereka amat melarang seseorang yang baru tiba dari musafir yang jauh, untuk terus pegang bayi yang masih kecil, takut terkejut kata mereka. Sebenarnya adat ini ada kebenarannya dalam hadis Nabi, cuma kenapa dan bagaimana untuk jalan penyelesaian kepada masalah ini tidak pula dijelaskan dengan terang dan jelas.
Hadis nabi ada menjelaskan bahawa pada waktu senja syaitan paling banyak berkeliaran untuk mengganggu manusia sebagaimana dalam satu riwayat yang menjelaskan (Ahmad, 1994: 14369):

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ احْبِسُوا صِبْيَانَكُمْ حَتَّى تَذْهَبَ فَوْرَةُ الْعِشَاءِ فَإِنَّهَا سَاعَةٌ تَخْتَرِقُ فِيهَا الشَّيَاطِين.
Terjemahan: Daripada Jabir bin ‘Abdullah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Kurunglah anak kecilmu (di rumah) menjelang malan sehingga habisnya waktu malam, kerana sesungguhnya ketika itu waktu syaitan sedang mengganas.”
(Ahmad)

Justeru, selain daripada mengelak nyamuk aedies masuk ke rumah kerana mereka suka berkeliaran pada awal pagi dan awal malam, menutup pintu dan tingkap pada waktu senja itu juga menghalang syaitan yang sedang banyak berkeliaran di luar rumah dari masuk ke dalam rumah.
Begitu juga, ketika musafir tidak kira jauh atau dekat, banyak makhluk halus khususnya syaitan yang mengikut serta dengan orang yang bermusafir yang ingin masuk ke rumah menyertai manusia bermalam dan berkongsi makan malam bersama. Hal ini ada ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam satu hadis
(Muslim, 2001: 3762; Abu Dawud, 1994: 3273; Ibn Majah, t.thn.: 3877; Ahmad, 1994: 14202):

عن جابر بن عبد الله أنه سمع النبي يقول إذا دخل الرجل بيته فذكر الله عند دخوله وعند طعامه قال الشيطان لا مبيت لكم ولا عشاء وإذا دخل فلم يذكر الله عند دخوله قال الشيطان أدركتم المبيت فإذا لم يذكر الله عند طعامه قال أدركتم المبيت والعشاء
.
Terjemahan: Daripada Jabir bin ‘Abdullah r.a. bahawa dia mendengar Nabi s.a.w. bersabda, “Apabila seseorang mengingati Allah S.W.T. ketika masuk ke rumah dan ketika makan, maka syaitan berkata kepada sahabatnya; “Kamu semua tidak dapat bermalam di rumah tersebut dan tidak boleh makan malam bersama mereka. Apabila masuk seseorang (ke rumahnya), lalu dia tidak mengingati Allah S.W.T. ketika masuknya, syaitan berkata, “Nampaknya kamu boleh menginap (di rumah ini). Kemudian apabila dia tidak juga mengingati Allah S.W.T. ketika makannya, Syaitan berkata, “Nampaknya kamu boleh menginap bahkan kamu boleh pula menikmati juadah makan malam (di rumah ini).”
(Muslim)

Hadis ini dengan jelas memberi tahu peranan mengingati Allah S.W.T. ketika masuk ke rumah dan ketika menjamu makanan. Mengingati Allah dengan berdoa seperti doa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. ketika kedua-dua amalan ini dilakukan mampu menghalang syaitan daripada menyertai manusia masuk ke dalam rumah untuk dijadikan ‘hotel’ bagi mereka serta menghalang mereka juga daripada ‘makan besar’ bersama-sama dengan ahli rumah tersebut.
Sememangnya Allah S.W.T. menjadikan syaitan sebagai makhluk yang dibenar untuk menggoda dan merosakkan manusia. Firman Allah S.W.T.:
َ
وَاسْتَفْزِزْ مَنِ اسْتَطَعْتَ مِنْهُمْ بِصَوْتِكَ وَأَجْلِبْ عَلَيْهِم بِخَيْلِكَ وَرَجِلِكَ وَشَارِكْهُمْ فِي الأَمْوَالِ وَالأَوْلادِ وَعِدْهُمْ وَمَا يَعِدُهُمُ الشَّيْطَانُ إِلاَّ غُرُورًا
Terjemahan: Dan desak serta pujuklah sesiapa yang engkau dapat memujuknya dengan suaramu; dan kerahlah penyokong-penyokongmu yang berkuda serta yang berjalan kaki untuk mengalahkan mereka; dan turut - campurlah dengan mereka dalam menguruskan harta-benda dan anak-anak (mereka); dan janjikanlah mereka (dengan janji-janjimu). padahal tidak ada yang dijanjikan oleh syaitan itu melainkan tipu daya semata-mata.” (Al-Isra’, 17:64)

Namun, kasih sayang Allah S.W.T. pula bagi umat Islam dengan memberikan mereka amalan tatacara adab kehidupan Baginda s.a.w. sebagai penghalang dan pendiding daripada ganguan kedurjanaan mereka.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails