Showing posts with label cinta. Show all posts
Showing posts with label cinta. Show all posts

Monday, January 11, 2010

Syair Simfoni cinta zulaikha


Pelayaran bahtera cinta telah menyingkap hijabku
segala kesirnaan menuntun masuk ke pintu Diri-Mu sendiri
tapi mengapa aku masih mencari air sedangkan aku telah berada di perairan-Mu
biarlah aku terlena di bahtera Nuh ini dihanyutkan benturan gelombang
namum aku tetap tidak akan mengungkapkan rahsia-Mu
atau meresahi banjir yang menenggelamkan gunung-ganang
aku tidak upaya meluluskan diri dari semua ujian empangan-Mu
jika aku lebur menjadi buih-buih di perairan cinta-Mu ini
pandanglah aku dalam makrifat-Mu

seperti Zulaikha merindukan Yusuf
dia telah keluar dari tabir-tabir kerahsiaan
dia sembunyikan segala-galanya di balik matahari, bulan dan bintang-bintang
perempuannya tidak mengerti makna keindahan dalam pertengkaran cinta
dia bawa Yusuf di hadapan mereka yang terpotong jari-jemari
tidakkah kepada Yusuf, telihat kecantikan-Nya
tidakkan kepada Yusuf, Sang Khalik berkata-kata,
'Aku Maha Indah, Kusukakan keindahan'

dari bias keindahan Wajah-Nya
merencahi rempah warna kebun mawar
dengannya kupu-kupu bertebaran mendekati keharuman
saksikan nyala lilin terbakar ribuan kelekatu terlelap oleh api malam
dari percikan sinarnya, mentari berkelana
titik di bawah huruf ba adalah penemuan air
di tengah gurun Sahara di atas wajar air,
beradab rindu tengadahnya kembang dan kiambang
tidakkah nampak pada susuk wajah laila
setiap lembar rambutknya menyingkapi kalbu majnun
Yusuf di penjara, menjadikan Zulaikha resah gelisah
pada tawanan cintanya sendiri
siapa YUsuf jika bukan cermin yang memantulkan
lukisan agung itu
meskipun Kau menyembunyi, ini juga hembusan nafas-Mu
diri persada langit walau dilitupi awan dan gugusan cakerawala
aku dibayangi gunung, gurun pasir, lembah dan kerikil
di jalan setapak aku menemui namaku
tertera di antara kubur-kubur yang telah dilupakan
tidur di wilayah-Mu yang tercinta, adalah berbantalkan
sebelas bintang, bulan dan matahari
kudambakan semuanya sujud
dalam mimpi seorang Yusuf

karya asal : Johar Buang (kidung cinta)

Thursday, November 19, 2009

Doa Insan Berkasih

Siti Musalmah, selepas kematian ibu, dia tetap menyandang pesan dan nasihat ibunya bagi kemakmuran diri. Lalu dengan hanya kemampuan membaca kitab, dia berhijrah ke kota bagi mencari bahagia, juga bagi menemui Hamzah, lelaki yang mengajarnya mengenal huruf. Di kota, ujian baru datang bertimpa-timpa. Apatah lagi pada saat dia berjaya menemui Hamzah, hanya untuk mengetahui, dia terbenam dalam masalah yang lebih berat, menyinggung hati dan kasih. Lalu hanya kepada Tuhan dia memohon, dia berdoa.

Siti Musalmah yang pasrah berkenaan ketentuan Allah, membawa kehidupan luhur gadis Islam yang rajin berpuasa sunat, mengkhatamkan Al-Quran setiap tiga bulan dan bersolat malam di rumah Tuan Malik. Tingkah lakunya menjadi kebencian anak gadis Tuan Malik, Zur Haleza yang lebih sukakan hidup berfoya-foya daripada menatap buku-buku pelajaran. Siti Muslamah mengutip buku-buku Zur Haleza dan berazam menduduki peperiksaan demi peperiksaan demi menunaikan janjinya pada Hamzah, untuk menjadi insan yang cemerlang dunia dan akhirat.

Tuan Malik yang mabuk, semasa Siti Musalmah sedang membaca Al-Quran dan selesai solat malam. Tuan Malik terpesona melihat kejelitaannya malam itu dan mahu memperkosanya, tetapi diselamatkan oleh penyakit strok yang tiba-tiba menyerang pemuja arak itu. Dia meninggal pada malam kejadian dan Siti Musalmah melarikan diri ke madrasah yang selalu dibawa Mak Limah belajar Fardu Ain.

Kekosongan jiwa Azri Farouk yang mula terisi dengan keluruhan budi seorang gadis yang melafazkan kalimah al-Quran di banglo mewahnya, rasa kosong kembali apabila Siti Musalmah hilang dari banglo mewahnya. Azri Farouk rasa tertekan dan kehilangan yang amat sangat. Harapannya supaya Siti Musalmah dapat membimbingnya hancur berkecai. Dia semakin tertekan apabila tidak tahu membaca surah Yasin mengiringi jenazah Tuan Malik dan bertambah tertekan apabila Tuan Malik meninggalkan banyak hutang sehingga rumah dan kereta tergadai. Azri Farouk ikut Mak Limah pulang ke Felda dan berusaha mencari Siti Musalmah. Dia berjanji pada dirinya akan menjadi insan semulia Siti Musalmah demi mempertahankan cintanya pada gadis mulia dan luhur itu.
Menanti Siti Musalmah yang tidak pulang-pulang, Hamzah berpindah ke Mersing dan berjaya membina empayar perniagaan. Dia mencari Siti Musalmah di Johor Bahru. Sayangnya Siti Musalmah membawa dukanya pulang ke kampung Nelayan dan bercita-cita mahu menjadi peraih ikan. Dia berhasrat mahu berbincang dengan Hamzah tetapi Mak Su Senah memujuknya supaya lupakan Hamzah kerana Mak Intan sudah pun menetapkan hari pernikahan Hamzah.

Siti Musalmah pasrah dengan ketentuan Allah dan semakin mendekatkan dirinya kepada Allah supaya dapat melupakan Hamzah. Ketegasan sepupunya Salamiah berjaya membantunya membuka gerai-gerai di sepanjang pantai untuk menjadi peraih ikan. Usahanya mendapat tentangan lintah-lintah darat. Berkat sabar dan rajin berusaha akhirnya Siti Musalmah berjaya membuka Kampung Nelayan Sdn. Bhd. Menjadi usahawan berasaskan produk laut dan berjaya membangunkan ekonomi kampung nelayan.

Zamani berusaha mendapatkan cinta Siti Musalmah, gadis tercantik di kampung Nelayan. Gagal cara baik, difitnahkan sudah hanyut seperti Esah semasa tinggal di Johor Bahru. Salamiah pertahankan Siti Musalmah dan berjaya menghalau Zamani keluar dari Kempung Nelayan.

Hari pernikahan semakin dekat, Hamzah bermunajat kepada Allah, semoga mudahkan pertemuannya dengan Siti Musalmah. Zahari, rakan kongsi dan sahabat baiknya bertemu Salamiah di kongres usahawan di Johor Baharu. Pertemuan itu memberi harapan pada Hamzah yang Allah akan pertemukan cintanya yang luhur itu.

Zur Haleza yang kehilangan kekasihnya Encik Pilus hilang hampir gila apabila kandungannya semakin besar. Banglo mewah tergadai. Dia berhasrat mahu mencari Siti Musalmah. Dia tiba-tiba menjadi rindu pada suara membaca Al-Quran yang sayup-sayup terdengar setiap kali dia pulang ke rumah pada waktu subuh.

Hamzah pujuk Mak Intan lupakan hasratnya untuk menjodohkannya dengan Nur Marhani dan berkata yang dalam hatinya yang ada hanya Siti Musalmah. Mak Intan semakin marah, sakit hati dan tertekan. Dia ke kampung Nelayan dan terkejut melihat perubahan yang begitu ketara. Dia menuduh Hamzah curahkan hartanya pada Siti Musalmah. Dia menyerang Siti Musalmah dan sanggup bayar berapa sahaja asalkan Siti Musalmah mahu lepaskan Hamzah. Salamiah yang panas baran, sakit hati dan marahkan Mak Intan yang dirasakan begitu kurang ajar menghina adik sepupunya dan seluruh orang kampung Nelayan. .

Demi menjaga hati semua, Siti Musalmah berjanji akan lupakan Hamzah dan menerima Azri Farouk. Salamiah menentang, dia tidak mahu Siti Musalmah kecewa. Dia pujuk Zahari bawa Hamzah ke kampung Nelayan dan pertemukan dua hati yang saling mencintai tetapi diuji dengan pelbagai ujian hidup.

Dengan doa-doa yang sering mereka pohonkan setiap kali hati dilanda ingatan yang pilu dan terseksa, akhirnya doa tulus mereka diperkenankan Allah. Cinta jadikan dua insan itu semakin hebat memajukan diri, menjadi insan semakin hebat beribadat dan semakin dekat menyerahkan diri kepada Yang Maha Pencipta.

Tuesday, October 6, 2009

Novel Pilihan

Sebuah novel gabungan dua elemen iaitu thriller dan cinta, hasil karya Ashiya Mizuki.

Zell dan keluarganya merupakan pendatang baru di Tsubasa. Bapa Zell, Taka, bekerja dengan kerajaan sebagai Duta. Zell telah berkenalan dengan Yuki – seorang gadis yang menghidapi suatu penyakit ganjil, Xeroderma Pigmentosum (XP), yang boleh mengakibatkan kematian jika anggota badan terdedah kepada cahaya matahari. Zell dan Yuki juga mempunyai teman-teman rapat yang lain seperti Ryu, Kyu, Aoi dan Himai.

Kisah yang penuh debaran bermula selepas terjadi situasi luar jangkaan di mana hujan turun tanpa henti di tanah Tsubasa. Banjir besar telah melanda dan Zell telah pergi ke tempat tinggal Yuki yang terletak di tepi pantai untuk mencari teman wanitanya itu yang terperangkap dalam ribut.

Dalam pada yang sama, seluruh Tsubasa termasuk daerah selatan dan utara iaitu Yamaguchi dan Yamashita telah dikuasai oleh kuasa jahat kumpulan Yakuza. Presiden Tsubasa iaitu Tetsuya Onigiri, telah berkompromi dengan kumpulan Yakuza untuk menjayakan rancangannya. Tetsuya telah mengeluarkan arahan untuk menangguhkan pembukaan pintu Empangan Minami, sebuah empangan terbesar di Tsubasa sehingga mengakibatkan berlakunya banjir besar.

Selain daripada itu, Tetsuya juga ingin menculik Zell, dan membunuh Taka yang merupakan saksi utama dalam kes siasatan antarabangsa yang melibatkan Tetsuya. Komplot antara Tetsuya dan kumpulan Yakuza telah dibau oleh pihak penyiasat antarabangsa yang diketuai oleh Runa Kindaichi. Runa telah menjalankan siasatan dalam plot jenayah Tetsuya ini berdasarkan bukti-bukti yang ditemuinya.

Malapetaka yang berlaku bagaikan memberi 1001 hikmah kepada Zell dan Yuki. Setiap perkara yang berlaku telah memberi ruang untuk menyingkap kembali detik-detik pertemuan dan kisah percintaan mereka dari awal sehingga kini yang dipenuhi dengan kenangan yang gembira mahupun kehibaan. Gambaran-gambaran kenangan itu setia terpahat hingga terbawa ke dalam lena malam yang begitu panjang.

Namun kehidupan Zell dan keluarganya dikelilingi oleh ancaman dan ugutan sementara Yuki pula bertarung nyawa dengan penyakitnya yang tidak boleh terdedah kepada cahaya matahari menyebabkan hubungan mereka menjadi sangat terbatas dan sukar.

Dengan kuasa jahat Yakuza yang semakin berleluasa – ditambah pula dengan komplot dan konspirasi pihak kerajaan membuatkan segala permasalahan menjadi begitu rumit dan sukar diramal.

Apakah yang akan berlaku kepada Yuki dan Zell selepas itu? Apakah kesudahan perhubungan mereka? Adakah mereka akan menunggu sehingga banjir surut sedangkan mereka sedang diburu dan diancam? Berjayakah Yuki melawan penyakitnya?

Dan bagaimana pula dengan Runa bersama-sama dengan agen-agennya? Mampukan mereka mematahkan rancangan yang direncana oleh Tetsuya?

Friday, June 5, 2009

Erti Cinta...

Pada satu musim haji, beberapa orang ahli sufi telah berkumpul di Mekkah termasuk Abu Bakar Al-Kattani dan Al-Junaid Al-Baghdadi. Waktu itu Junaid masih lagi muda tetapi merupakan ahli sufi,yang demikian beliau merupakan kalangan ahli sufi yang termuda di dalam majlis tersebut.

Mereka sedang membahaskan konsep cinta kepada Allah khususnya menurut ahli sufi. Masing-masing mengemukakan pendapat masing-masing di dalam majlis tersebut. Setelah itu mereka yang lain merasa ingin mendengar pula pendapat ahli sufi muda ini dalam hal tersebut.
"Sila kemukakan pendapatmu wahai pemuda iraq." kata mereka kepada Al-Junaid. Maka tertunduklah kepala Al-Junaid dan bersertalah air matanya mengalir dipipinya yang kemudian mengangkat kembali kepalanya seraya berkata:

"Orang yang asyik Cinta kepada Allah ialah orang yang membebaskan dirinya dari segala nafsunya, dan sebagai akibat daripada itu, dia hanya menyibukkan dirinya berzikir kepada Allah S.W.T."

Dia sentiasa melaksanakan segala tugas-tugas yang Allah suruhkan kepadanya, dia melihat kebesaran Allah dengan mata hatinya. Nur Allah dan kebesaran-Nya menguasai dan menghiasi seluruh jiwanya, sehingga kosong hatinya dari apa saja melainkan Allah. Dia telah minum air cinta yang jernih daripada-Nya.

Tersingkaplah segala Hijab sehingga jelas baginya. maka jika ia bercakap, dia tidak bercakap melainkan bersama Allah.

Dari mulutnya tidak keluar satu perkataan melainkan Allah. Demikian jua jika ia bergerak, maka gerak itu atas perintah Allah, dan jika ia mendiamkan diri, dia bersama Allah. Pokoknya segala apa saja gerakan, perkataan dan fikirannya hanyalah kerana Allah dan bersama Allah."

Mendengar keterangan yang sangat menakjubkan itu, maka menangislah kesemua ahli sufi yang hadir dan syeikh yang hadir, lalu berkata " Tidak ada penjelasan yang lebih baik dan terang selain itu." Mereka tersangat kagum kepada Junaid kerana masih terlalu muda dan berupaya mengeluarkan perkataan itu. "Semoga Allah tetap membimbingmu wahai mahkota kerohanian." kata mereka lagi.

Renungan : Hanya Cinta Allah cinta hakiki... mendambakan cinta hanya padaNya merupakan anugerah yang terindah... melakukan suruhan dan menjauhi larangan adalah bukti kecintaan sebenar kepadaNya.

Related Posts with Thumbnails