Wednesday, July 10, 2013

Sinar Pawana Ramadhan

Assalamualaikum & Salam Ramadhan 1434H

Kelmarin sudah kedengaran sayup-sayup suara yang sering dinanti-nanti , suara yang sentiasa dirindui, dalam setahun hanya 3 kali berkumandang di kaca tv. Seluruh ahli keluarga berkumpul di hadapan tv, volume suara dikuatkan sehingga level tertinggi, mematikan diri. Senyap. Tergamam.
" Setelah diperkenankan oleh Duli-duli yang Maha Mulia Raja-raja, maka adalah dengan ini saya mengisytiharkan tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari Rabu 10hb Julai 2013. Sekian."
Suara Dato' Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja tenang menyampaikan pengumuman puasa Ramadhan 1434H. Wajah yang setia menjadi penyampai, dengan gaya yang bersahaja songkok disengetkan sedikit dan duduk bersandar. Tidak pernah berubah.

Selesai pengumuman tersebut, masing-masing ada yang bersorak gembira, ada yang mengeluh "huhh.." dan ada juga yang senyap seribu bahasa. Seperti tiada apa-apa yang berlaku. Volume suara tv kembali diperlahankan. Semua berlalu pergi menyambung kerja masing-masing kecuali ibu dan ayah setia menghadap tv untuk menonton berita.

Berita rusuhan di mesir memaku aku yang hendak ke bilik, dua langkah ku undur semula dan duduk di bangku kembali. Perhimpunan besar-besaran di Dataran Tahrir dan Rabaah amat dashyat. Sungguh. Berjuta-juta rakyat mesir berkumpul semata-mata ingin menyatakan sokongan kepada pemimpin masing-masing. Sebahagian ingin menjatuhkan kerajaan sekarang, sebahagian lain pula mempertahankannya. Bermacam-macam perangai mereka. Mesir yang dahulu aman sekejap, kembali kecoh dengan perkara yang tidak pernah selesai ini. 

Lihat ayah mengeleng-gelengkan kepalanya yang sedikit berambut. Cermin matanya turun bergoyang sama. Wajah tuanya nampak sedikit berkerut. Ibu bangkit dari sofa, katanya hendak ke dapur... makan ubat. Aku pun turut bangun menuju ke bilik, menyelesaikan saki-baki kerja yang tertangguh di ofis tadi.

Kedengaran suara si kecil menangis, si isteri yang sibuk di dapur segera berlari ke bilik atas. Suara tangisan tadi kembali senyap. Nak menyusu agaknya, bisik hati kecilku. Aku keluarkan komputer riba dari beg bersama fail-fail yang perlu disiapkan. Power button aku tekan keras, komputer mula beroperasi. Dokumen-dokumen dalam fail aku keluar dan asingkan supaya mudah. 

Melihat jam di dinding, hampir pukul 11 malam. 2 jam duduk menghadap laptop tak terasa betapa cepatnya waktu berlalu. " Kena tidur cepat ni, esok pagi nak bangun sahur...," barang-barang aku kemaskan dan masukkan dalam beg. Aku naik ke bilik, isteri dan si kecil sedang nyenyak dibuai mimpi. Aku naik atas katil perlahan-lahan, merangkak seperti askar menyerang hendap... takut-takut menganggu tidur mereka. Bantal kutepuk-tepuk sedikit dan terus baring. Alhamdulillah..

....................................................................................................................... to be continue

1 comments:

Data Cabling Fairfield said...

Greatt reading your blog post

Related Posts with Thumbnails