Penulis terpanggil menceritakan satu pengalaman tentang peri pentingnya kehidupan Rasulullah s.a.w. sebagai jaminan keselamatan, kesejahteraan dan kebahagian rumahtangga. Cerita ini merupakan cerita yang dikongsikan kepada khalayak pembaca tentang pengalaman seorang pengamal adab kehidupan Rasulullah s.a.w. yang mendapat manfaat daripada adab tersebut. Beliau sememangnya sejak zaman bujangnya sangat perihatin tentang doa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. ketika masuk ke rumah. Doa ini dipetik daripada riwayat al-Tarmidhi (1994: 4432), iaitu:Beliau berkahwin dan dikurniakan seorang bayi yang masih kecil sebagai anak pertama mereka. Satu malam sewaktu beliau tiga beranak balik daripada kampung mereka, mereka terlupa membaca doa ini yang selalu diamalkan bersama-sama kerana kepenatan. Dalam beberapa ketika selepas masuk ke rumah, bayi mereka mula menangis dengan tangisan yang kuat dan berterusan. Pelbagai usaha seperti seperti memberi susu, menukar lampin, menyapu minyak angin ke perut bayi mereka kerana berkemungkinan kembung perut dan membuaikannya di buaian, tetapi semua tindakan ini tidak berjaya untuk menghentikan tangisannya. Usaha kedua yang dilakukan oleh beliau suami isteri pula ialah dengan membacakan surah Yasin, ayat al-Kursi dan al-Ma‘uzat yang disapukan kepada bayi mereka, tetapi usaha ini juga tidak berjaya menghentikan tangisannya. Ini diikuti pula dengan beliau bangun dengan solat hajat, minta dilindungkan Allah S.W.T. daripada segala ganguan terhadap bayi, namun masih tidak berjaya. Secara tiba-tiba sang suami bertanya kepada isterinya: “Eh! Tadi kita masuk, kita baca doa ke tidak?” Isterinya menggeleng bersetuju bahawa mereka lupa untuk membaca doa masuk ke rumah seperti yang selalu mereka amalkan. Lalu si suami mendokong bayinya yang masih menangis dan mengajak isterinya keluar daripada rumah bersama-sama. Beliau seterusnya mengajak isterinya masuk kembali ke dalam rumah dengan membaca doa masuk ke rumah, memberi salam dan melangkah masuk ke dalam dengan kaki kanan. Dengan izin Allah S.W.T. percubaan kali ini berjaya memberhentikan tangisan bayi mereka. Dalam beberapa ketika selepas bayi berhenti menangis, bayi itu terus tidur dengan nyenyak. Sejak dari itu, mereka berdua bertambah yakin terhadap kesan doa dan adab kehidupan Rasulullah s.a.w. terhadap kehidupan mereka sehingga mereka semakin memberi perhatian dalam banyak aspek kehidupan mereka untuk mengikut tatacara adab yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w.
Adat orang tua-tua selalu melarang kita supaya pulang segera sewaktu senja menjelang tiba. Begitu juga apabila senja menjelang, pintu dan tingkap rumah hendaklah ditutup rapat. Penulis sendiri masih terngiang-ngiang dengan jeritan ibu yang menyuruh tutup segala tingkap dan pintu rumah sewaktu senja menjelang. Begitu juga mereka amat melarang seseorang yang baru tiba dari musafir yang jauh, untuk terus pegang bayi yang masih kecil, takut terkejut kata mereka. Sebenarnya adat ini ada kebenarannya dalam hadis Nabi, cuma kenapa dan bagaimana untuk jalan penyelesaian kepada masalah ini tidak pula dijelaskan dengan terang dan jelas.
Hadis nabi ada menjelaskan bahawa pada waktu senja syaitan paling banyak berkeliaran untuk mengganggu manusia sebagaimana dalam satu riwayat yang menjelaskan (Ahmad, 1994: 14369):
(Ahmad)
Justeru, selain daripada mengelak nyamuk aedies masuk ke rumah kerana mereka suka berkeliaran pada awal pagi dan awal malam, menutup pintu dan tingkap pada waktu senja itu juga menghalang syaitan yang sedang banyak berkeliaran di luar rumah dari masuk ke dalam rumah.
Begitu juga, ketika musafir tidak kira jauh atau dekat, banyak makhluk halus khususnya syaitan yang mengikut serta dengan orang yang bermusafir yang ingin masuk ke rumah menyertai manusia bermalam dan berkongsi makan malam bersama. Hal ini ada ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam satu hadis
(Muslim, 2001: 3762; Abu Dawud, 1994: 3273; Ibn Majah, t.thn.: 3877; Ahmad, 1994: 14202):
.
(Muslim)
Hadis ini dengan jelas memberi tahu peranan mengingati Allah S.W.T. ketika masuk ke rumah dan ketika menjamu makanan. Mengingati Allah dengan berdoa seperti doa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. ketika kedua-dua amalan ini dilakukan mampu menghalang syaitan daripada menyertai manusia masuk ke dalam rumah untuk dijadikan ‘hotel’ bagi mereka serta menghalang mereka juga daripada ‘makan besar’ bersama-sama dengan ahli rumah tersebut.
Sememangnya Allah S.W.T. menjadikan syaitan sebagai makhluk yang dibenar untuk menggoda dan merosakkan manusia. Firman Allah S.W.T.:
Namun, kasih sayang Allah S.W.T. pula bagi umat Islam dengan memberikan mereka amalan tatacara adab kehidupan Baginda s.a.w. sebagai penghalang dan pendiding daripada ganguan kedurjanaan mereka.



