Tuesday, May 25, 2010

KISAH LIMA PERKARA ANEH

Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara.

Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat,
Pertama : apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah,
Kedua : engkau sembunyikan,
Ketiga : engkau terimalah,
Keempat : jangan engkau putuskan harapan,
Kelima : larilah engkau daripadanya."

Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan."
Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.

Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut.
Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam.

Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku."
Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku."

Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.

Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."

Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahawa, "Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu. Kedua; semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua. Ketiga; jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya. Keempat; jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat. Kelima; bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."

Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa sahaja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain. Haruslah kita ingat bahawa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu."

Maka berkata Allah S.W.T., "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu." Dengan ini haruslah kita sedar bahawa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang walaupun ia benar.

Friday, May 7, 2010

Software terjemahan kitab 9 imam

Anda tercari-cari software Kitab Shahih Bukhari, Shahih Muslim dan lain-lain lagi? Anda mencari terjemahan kitab-kitab imam yang mashyur? Kini semuanya terdapat dalam satu CD. Ianya software mudah cari berserta terjemahannya dengan tampilan yang menarik dan complete. Terkandung di dalamnya lebih 60 ribu hadis dari kitab-kitab hadis Shahih Bukhari, Shahih Muslim, Sunan Abu Daud, Sunan Tirmidzi, Sunan Ibnu Majah, Musnan Ahmad, Muwatha' imam Malik dan Sunan Ad-Darimi.
Apa yang menarik dari program hadith kitab 9 imam ini? Sebagai sebuah karya yang belum pernah ada di sini, tentu program ini memiliki banyak kelebihan dari segi isinya.

Kandungan :
- Lebih 62,000 hadith ( teks arab berserta terjemahan dalam bahasa yang mudah difahami)
- Kumpulan dari kitab 9 imam hadith yang terkenal (Bukhari, Muslim,Abu Daud, Tirmidzi, Ibnu Majah, Ahmad hanbal, Imam Malik dan Ad-Darimi)
- Data perawi hadith- ilmu hadith mudah dan ringkas
-Sanad / jalan sampainya hadith-Data hadith pendukung (tahrij) & Komparasi Hadith ( hadis penguat)

Tambahan :
- Pencarian hadis dengan hanya menclick suatu kata yang ingin dicari pada search engine
- Teks Arab dan terjemah hadis dapat disalin ke dalam Microsoft Word, notepad dan program lain.- Pengumpulan hadis berdasarkan indeks
- Kumpulan hadis berdasarkan kategori hadis seperti hadis Qudsi, Mutawatir, marfu' dan lain-lain.
- Biografi dan riwayat hidup 9 imam tersebut.
- Lagenda (keterangan warna) status para perawi seperti tsiqah, maqbul, dhoif dan lain-lain.

*Untuk maklumat selanjutnya sila layari laman web ini KUTUB TIS'AH

Tuesday, April 20, 2010

DYMM Sultan Johor mencemar duli ke Mesir

Alhamdulilah selesai sudah perasmian Asrama Pelajar Johor di Mesir yang kedua bertempat di Rabea Adawiya. Majlis perasmian dilancarkan oleh DYMM Tuanku Sultan Ibrahim ibnu Almarhum Sultan Iskandar bertepatan dengan tarikh 17 April 2010 bersamaan 3 Jamadil Awal 1431 Hijrah. DYMM Tuanku Sultan Johor sanggup mencemar duli semata-mata hendak merasmikan bangunan asrama dan disamping itu hendak mengerjakan umrah ke Mekkah setelah dua hari disini.





Tahniah kepada Mahasiswa-mahasiswi johor di mesir kerana dapat memberi kerjasama yang terbaik dalam menguruskan persiapan dan persembahan bagi menyambut kedatangan DYMM Sultan Johor beserta Exco-Exco kerajaan Johor. Sempena perasmian bangunan ini DYMM Sultan Johor berharap para mahasiswa dapat mengunakan dan menjaga asrama tersebut dengan sebaik-baiknya agar dapat di manfaatkan oleh generasi-generasi seterusnya.




Wednesday, April 14, 2010

Ezzatun nafsi sumber kekuatan diri

Seharian semalam saya menghadiri Muktamar Sanawi ( Perhimpunan Agung Tahunan) persatuan yang dinaungi di pelembahan nil ini. Bermula seawal jam 7 pagi saya sudah berada disana, alhamdulilah perjalanan dimudahkanNya kerana kurang kesesakan jalanraya. Pagi-pagi ini orang arab sebahagiannya masih dibuai lena embunan. Mereka bermula kerja lebih kurang jam 9 pagi.

Bertempat di Nadi ar-Riadi ( kompleks sukan) berhadapan dengan kuliah perubatan al-azhar, muktamar kali ke -77 ini telah diadakan. Seperti tahun-tahun yang lepas tempat ini menjadi pilihan untuk menghimpunkan seluruh mahasiswa-mahasiswi al-azhar di bidang pengajian islam amnya dan juga di bidang perubatan. Setiap Badan kebajian anak negeri dan Dewan perwakilan Mahasiswa di cawangan menghantar perwakilan masing-masing.

Perjalanan muktamar bermula dengan lancar. Gimik perasmian yang dipersembahkan sungguh mengujakan dengan tayangan video dan lukisan karikatur badan pengurus sesi 2009. Perbahasan usul-usul tergempar, perbahasan ucapan dasar presiden dan perletakan jawatan serta pelantikan badan pengurus yang baru sehingga ke akhir majlis penutup tetap berjalan dengan lancar. Tahniah.

Bukan disini ingin saya nukilkan berkenaan peristiwa tersebut tetapi bagaimana tanggungjawab dan amanah kita sebagai pemimpin mahupun ahli melaksanakan tugas-tugas yang diberikan. Jangan sesekali ada sifat bermegah diri dan menunding jari bila berlaku sesuatu perkara. Kita sebagai pelajar agama perlu bersifat ezzatun nafsi iaitu kemuliaan diri.

Ezzatun Nafsi ialah bila kita dapat memiliki diri kita sendiri, dapat mengawal nafsu serta punya keyakinan dan kedamaian hati. Jangan rasa rendah diri hanya kerana tidak memilik kekayaan mahupun kekuasaan. Contohilah sifat-sifat masyaikh dan ulama' kita yang terdahulu.


Suatu ketika (sekitar tahun 1930an ),Shiekhul Azhar sedang duduk menyandarkan belakangnya ke dinding Masjid Al Azhar (tempat asal Universiti Al Azhar) sambil menjulurkan kakinya.Sedang beliau merehatkan diri, beliau lihat kedatangan Sultan Abdul Aziz Raja Saudi. Baginda ketika itu dalam rangka lawatan ke Mesir. Baginda datang dengan diiringi pembesar Mesir Khidive Ismail.

Shiekhul Azhar tidak menunjuk sebarang rasa terkejut maupun bangun menyambut kedatangan Sultan Abdul Aziz. Melihat keadaan sedemikian, Khidive Ismail mengarahkan seorang kanannya membawa sejumlah wang yang banyak dan memberikannya kepada Shiekhul Azhar dengan tujuan agar Shiekh tersebut mengetahui kedudukannya.

Apabila orang kanan Khidive berjumpa Shiekhul Azhar, Shiekh tersebut telah memegang tangan orang itu sambil berkata :

"Khabarkan kepada orang yang mengutusmu, sesungguhnya orang yang menjulurkan kaki tidak sesekali akan menghulur tangannya(meminta-minta)".

Lihatlah sebesar manapun pangkat orang itu atau ganjaran yang diberikan, tidak sesekali syeikh menundukkan dirinya. Tidaklah bermakna syeikh tidak menghormati tetamu tetapi sesungguhnya syeikh lebih mengetahui akan sifat yang ada dalam diri pemimpin tersebut. Sekali menunduk pasti akan selamanya tersungkur. Wallahu'alam.

sumber : ezzatun nafsi
Related Posts with Thumbnails