Friday, November 27, 2009

simfoni aidiladha

Allahu akhbar..Allahu akhbar...Allahu akhbar walillahilham..
Sayup-sayup takbir bergema memecah ruang angkasa melaungkan kebesaranNya. Sejak semalam lagi sudah kedengaran di hari Arafah 9hb zulhijjah. Laungan takbir lunak merdu si imam disahut oleh sekalian makmum yang menyertainya. Seiring dan sekata.

Aku masih termanggu dibirai katil, leka mendengar takbir bersahut-sahutan di antara masjid-masjid berdekatan. Sayu dan hiba menusuk jiwa. Aku bingkas bangun menyarung sehelai jubah cream dipadankan dengan sweater biru berjenama cheetah milik along semasa dia belajar di UTM dahulu. Cuaca diluar sungguh sejuk, jika tidak memakai sweater pasti menggigil kebekuan. Subuh tadi langit berdentam-dentum diiringi hujan renyai-renyai.

Jalan raya lengang dengan kenderaan tapi penuh dibasahi hujan pagi tadi. Walaupun hujan sudah reda tetapi angin tetap bertiup dingin, terasa hingga ke tulang. Aku melangkah masuk ke masjid, masih tidak ramai jemaah yang datang. Hanya tiga saf awal kukira-kira itupun renggang-renggang. Kulihat jam menunjukan jam 6.40, mungkin sebentar lagi mereka datang kerana solat sunat aidiladha akan dimulakan pada jam 7.00 tepat. Imam yang mengumumkannya selesai solat subuh tadi. Takbir masih lagi berkumandang selagi imam belum menyuruh jemaah bangun untuk solat. Jika diikutkan takbir disini lebih bersemangat daripada laungan takbir di tanah air tercinta. Di Malaysia, takbir dilaungkan dengan alunan sayu seperti menangisi pemergian insan tersayang padahal takbir adalah untuk meraikan kemenangan, perlu bersemangat dan berwibawa.

Tepat jam 7.00 waktu mesir, solat sunat Aidiladha dimulakan. Jemaah semua bangun memenuhkan ruang yang kosong, merapatkan saff antara bahu ke bahu. Imam memulakan rakaat pertama dengan tujuh kali takbir dan lima kali takbir pada rakaat kedua. Alunan merdu suara imam mengalunkan bacaan ayat-ayat suci menyegarkan jiwa setiap yang mendengarnya. Tenang. Selesai solat, imam berdiri diatas mimbar menyampaikan khutbah dimulai dengan takbir Allahu akhbar...Allahu akhbar. Si Imam mengupas tajuk berkenaan peristiwa didalam bulan Zulhijjah dimana hari Wida' Nabi yang terakhir jatuh pada tanggal 8hb. Sedih sungguh hati bila mengenangkan peristiwa yang berlaku keatas Junjungan kita Nabi S.A.W, penuh cekal dan tabah Baginda menghadapinya. Bertambah hiba lagi bila imam membacakan khutbah terakhir Rasulullah SAW yang disampaikan pada 9 Zulhijjah Tahun ke 10 Hijrah di Lembah Uranah, Gunung Arafah. Cara penyampaiannya itu membuatkan kurasa seolah-olah berada pada zaman dikelilingi para sahabat dengan suara esakan tangisan memenuhi lembah itu. Khusyuk aku mendengarnya hinggakan khutbah yang panjang terasa singkat.
.....bersambung

Thursday, November 19, 2009

Doa Insan Berkasih

Siti Musalmah, selepas kematian ibu, dia tetap menyandang pesan dan nasihat ibunya bagi kemakmuran diri. Lalu dengan hanya kemampuan membaca kitab, dia berhijrah ke kota bagi mencari bahagia, juga bagi menemui Hamzah, lelaki yang mengajarnya mengenal huruf. Di kota, ujian baru datang bertimpa-timpa. Apatah lagi pada saat dia berjaya menemui Hamzah, hanya untuk mengetahui, dia terbenam dalam masalah yang lebih berat, menyinggung hati dan kasih. Lalu hanya kepada Tuhan dia memohon, dia berdoa.

Siti Musalmah yang pasrah berkenaan ketentuan Allah, membawa kehidupan luhur gadis Islam yang rajin berpuasa sunat, mengkhatamkan Al-Quran setiap tiga bulan dan bersolat malam di rumah Tuan Malik. Tingkah lakunya menjadi kebencian anak gadis Tuan Malik, Zur Haleza yang lebih sukakan hidup berfoya-foya daripada menatap buku-buku pelajaran. Siti Muslamah mengutip buku-buku Zur Haleza dan berazam menduduki peperiksaan demi peperiksaan demi menunaikan janjinya pada Hamzah, untuk menjadi insan yang cemerlang dunia dan akhirat.

Tuan Malik yang mabuk, semasa Siti Musalmah sedang membaca Al-Quran dan selesai solat malam. Tuan Malik terpesona melihat kejelitaannya malam itu dan mahu memperkosanya, tetapi diselamatkan oleh penyakit strok yang tiba-tiba menyerang pemuja arak itu. Dia meninggal pada malam kejadian dan Siti Musalmah melarikan diri ke madrasah yang selalu dibawa Mak Limah belajar Fardu Ain.

Kekosongan jiwa Azri Farouk yang mula terisi dengan keluruhan budi seorang gadis yang melafazkan kalimah al-Quran di banglo mewahnya, rasa kosong kembali apabila Siti Musalmah hilang dari banglo mewahnya. Azri Farouk rasa tertekan dan kehilangan yang amat sangat. Harapannya supaya Siti Musalmah dapat membimbingnya hancur berkecai. Dia semakin tertekan apabila tidak tahu membaca surah Yasin mengiringi jenazah Tuan Malik dan bertambah tertekan apabila Tuan Malik meninggalkan banyak hutang sehingga rumah dan kereta tergadai. Azri Farouk ikut Mak Limah pulang ke Felda dan berusaha mencari Siti Musalmah. Dia berjanji pada dirinya akan menjadi insan semulia Siti Musalmah demi mempertahankan cintanya pada gadis mulia dan luhur itu.
Menanti Siti Musalmah yang tidak pulang-pulang, Hamzah berpindah ke Mersing dan berjaya membina empayar perniagaan. Dia mencari Siti Musalmah di Johor Bahru. Sayangnya Siti Musalmah membawa dukanya pulang ke kampung Nelayan dan bercita-cita mahu menjadi peraih ikan. Dia berhasrat mahu berbincang dengan Hamzah tetapi Mak Su Senah memujuknya supaya lupakan Hamzah kerana Mak Intan sudah pun menetapkan hari pernikahan Hamzah.

Siti Musalmah pasrah dengan ketentuan Allah dan semakin mendekatkan dirinya kepada Allah supaya dapat melupakan Hamzah. Ketegasan sepupunya Salamiah berjaya membantunya membuka gerai-gerai di sepanjang pantai untuk menjadi peraih ikan. Usahanya mendapat tentangan lintah-lintah darat. Berkat sabar dan rajin berusaha akhirnya Siti Musalmah berjaya membuka Kampung Nelayan Sdn. Bhd. Menjadi usahawan berasaskan produk laut dan berjaya membangunkan ekonomi kampung nelayan.

Zamani berusaha mendapatkan cinta Siti Musalmah, gadis tercantik di kampung Nelayan. Gagal cara baik, difitnahkan sudah hanyut seperti Esah semasa tinggal di Johor Bahru. Salamiah pertahankan Siti Musalmah dan berjaya menghalau Zamani keluar dari Kempung Nelayan.

Hari pernikahan semakin dekat, Hamzah bermunajat kepada Allah, semoga mudahkan pertemuannya dengan Siti Musalmah. Zahari, rakan kongsi dan sahabat baiknya bertemu Salamiah di kongres usahawan di Johor Baharu. Pertemuan itu memberi harapan pada Hamzah yang Allah akan pertemukan cintanya yang luhur itu.

Zur Haleza yang kehilangan kekasihnya Encik Pilus hilang hampir gila apabila kandungannya semakin besar. Banglo mewah tergadai. Dia berhasrat mahu mencari Siti Musalmah. Dia tiba-tiba menjadi rindu pada suara membaca Al-Quran yang sayup-sayup terdengar setiap kali dia pulang ke rumah pada waktu subuh.

Hamzah pujuk Mak Intan lupakan hasratnya untuk menjodohkannya dengan Nur Marhani dan berkata yang dalam hatinya yang ada hanya Siti Musalmah. Mak Intan semakin marah, sakit hati dan tertekan. Dia ke kampung Nelayan dan terkejut melihat perubahan yang begitu ketara. Dia menuduh Hamzah curahkan hartanya pada Siti Musalmah. Dia menyerang Siti Musalmah dan sanggup bayar berapa sahaja asalkan Siti Musalmah mahu lepaskan Hamzah. Salamiah yang panas baran, sakit hati dan marahkan Mak Intan yang dirasakan begitu kurang ajar menghina adik sepupunya dan seluruh orang kampung Nelayan. .

Demi menjaga hati semua, Siti Musalmah berjanji akan lupakan Hamzah dan menerima Azri Farouk. Salamiah menentang, dia tidak mahu Siti Musalmah kecewa. Dia pujuk Zahari bawa Hamzah ke kampung Nelayan dan pertemukan dua hati yang saling mencintai tetapi diuji dengan pelbagai ujian hidup.

Dengan doa-doa yang sering mereka pohonkan setiap kali hati dilanda ingatan yang pilu dan terseksa, akhirnya doa tulus mereka diperkenankan Allah. Cinta jadikan dua insan itu semakin hebat memajukan diri, menjadi insan semakin hebat beribadat dan semakin dekat menyerahkan diri kepada Yang Maha Pencipta.

Monday, November 16, 2009

masihkah cintamu..


masihkah cintamu sungai mengalir
setia terus menuju muara
atau hanya pasir di pantai
berubah ketika ombak melandai.

Masihkah cintamu serumpun buluh
kukuh kejap dalam taufan
atau hanya dahanan kering
gugur ketika disapa ribut.

Masihkah cintamu kaktus di gurun
subur tanpa disirami air
atau hanya sekuntum sakura
layu dalam panas matahari.

Masihkah cintamu rerumput liar
hijau segar dalam kemarau
atau hanya lelalang kering
mudah melentuk ditiup angin.

Masihkah cintamu pungguk merindu
teguh cekal menanti bulan
atau hanya merpati liar
bila di dekati kau pun lari

Masihkah cintamu semut hitam
rela mati kerana gula
atau hanya sekawan kelkatu
hilang bila lampu terpadam

Masihkah cintamu si camar putih
kembali terbang ketika petang
atau hanya sang duyung sepi
merindu pulang pelaut malang

by : anaklaut
Related Posts with Thumbnails