Thursday, January 15, 2009

Penghayatan Adab Dlm Keluarga

Membangunkan tatacara kehidupan beradab dalam keluarga adalah mudah dan tidak perlukan satu bentuk proses pengajaran formal seperti dalam kelas. Proses pendidikan ini sebenarnya lebih dekat dengan pepatah Melayu ‘Alah bisa tegal biasa’. Ini kerana pembangunan ini merupakan pembangunan yang berterusan yang saling sokong menyokong antara suami isteri selaku ibu dan ayah serta anak-anak. Amalan kehidupan ini jika sudah menjadi kebiasaan dengan sendiri mudah dilakukan oleh sesiapa jua, walaupun ketika proses pendidikan ini memerlukan jangka waktu yang panjang dan berterusan.
Tatacara adab kehidupan Rasulullah s.a.w. ini bukanlah perintah yang wajib tetapi sangat penting dalam memberikan perlindungan, keberkatan dan keselamatan daripada Allah S.W.T. kepada manusia. Oleh itu, tidak rugi jika setiap ibu bapa berusaha meningkatkan adab kehidupan ini dalam diri dan dalam masa yang sama mendidik anak dengan kebiasaan yang mabruk ini. Nilai adab kehidupan yang tinggi ini sangat dicemburui oleh syaitan yang sentiasa cuba menjauhkan manusia daripada mengamalkannya. Syaitan sentiasa berusaha untuk melupakan manusia daripada mengingati Allah S.W.T. dan dari mengamalkan adab kehidupan Rasulullah s.a.w. pada setiap tindakan yang manusia ingin lakukan. Satu hadis berbunyi (al-Tarmidhi, 1994: 3332; al-Nasa’i, t.thn.: 1331; Ibn Majah, t.thn.: 916; Ahmad, 1994: 6210),

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِي اللَّهُ عَنْهممَا قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ خَلَّتَانِ لَا يُحْصِيهِمَا رَجُلٌ مُسْلِمٌ إِلَّا دَخَلَ الْجَنَّةَ أَلَا وَهُمَا يَسِيرٌ وَمَنْ يَعْمَلُ بِهِمَا قَلِيلٌ يُسَبِّحُ اللَّهَ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلَاةٍ عَشْرًا وَيَحْمَدُهُ عَشْرًا وَيُكَبِّرُهُ عَشْرًا قَالَ فَأَنَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ يَعْقِدُهَا بِيَدِهِ قَالَ فَتِلْكَ خَمْسُونَ وَمِائَةٌ بِاللِّسَانِ وَأَلْفٌ وَخَمْسُ مِائَةٍ فِي الْمِيزَانِ وَإِذَا أَخَذْتَ مَضْجَعَكَ تُسَبِّحُهُ وَتُكَبِّرُهُ وَتَحْمَدُهُ مِائَةً فَتِلْكَ مِائَةٌ بِاللِّسَانِ وَأَلْفٌ فِي الْمِيزَانِ فَأَيُّكُمْ يَعْمَلُ فِي الْيَوْمِ وَاللَّيْلَةِ أَلْفَيْنِ وَخَمْسَ مِائَةِ سَيِّئَةٍ قَالُوا فَكَيْفَ لَا يُحْصِيهَا قَالَ يَأْتِي أَحَدَكُمُ الشَّيْطَانُ وَهُوَ فِي صَلَاتِهِ فَيَقُولُ اذْكُرْ كَذَا اذْكُرْ كَذَا حَتَّى يَنْفَتِلَ فَلَعَلَّهُ لَا يَفْعَلُ وَيَأْتِيهِ وَهُوَ فِي مَضْجَعِهِ فَلَا يَزَالُ يُنَوِّمُهُ حَتَّى يَنَامَ قَالَ أَبمو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ
Terjemahan: Abdullah bin ‘Amr r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Dua perkara yang tidak dilakukan seorang lelaki muslim melainkan pastilah masuk ke syurga. Ketahuilah kedua-dua perkara ini adalah sangat ringan (untuk dilakukan) namun sedikit sangat orang yang mengamalkannya, iaitu bertasbih kepada Allah setiap kali selepas solat sepuluh kali, dan bertahmid kepada-Nya sepuluh kali dan bertakbir kepada-Nya sepuluh kali. ‘Abdullah bin ‘Amr menambah, “Aku melihat Rasulullah s.a.w. mengiranya sendiri dengan tangannya.” Rasulullah menyambung sabdanya, “Maka semua sekali berjumlah 150 puluh disebut dilidah sedangkan dalam timbangan dacing amal sebagai 1500. Kemudian jika engkau mengambil tempat untuk tidur, lalu engkau bertasbih, bertahmid dan bertakbir dengan jumlah 100 semuanya, maka itu adalah 100 pada sebutan lidah namun seribu pahalanya dalam timbangan dacing amal. Lalu Rasulullah s.a.w. bertanya, “Siapa yang boleh melakukan dosa sehari semalam dengan 2500 dosa?” Kamipun bertanya, “Bagaimana amalan itu sampai tidak dilakukan (oleh umat Islam)?” Rasulullah s.a.w. menjelaskan, “Syaitan datang kepada seorang kamu ketika solat dan seterusnya dia berkata, “Ingatlah ini, ingatlah ini”, sehingga dia berserabut memikirkan urusannya dan syaitan berharap dia mengabaikan amalan tersebut. Kemudian sekali lagi syaitan datang di tempat tidurmu dan mengantuk-ngantukannya sehingga dia tidur (tanpa melakukan amalan itu.” Imam Abu Isa menegaskan bahawa hadis ini ialah hadis hasan sahih. (Al-Tarmidhi, al-Nasa’i, dan Ibn Majah)

Dalam hadis ini jelas menunjukkan bagaimana usaha syaitan menjauhkan umat Islam daripada melakukan amalan zikir selepas solat dan satu adab tidur, iaitu bertasbih, bertahmid, dan bertakbir sebanyak seratus kali sebelum tidur supaya mereka tidak mendapat pahala yang dijanjikan di alam akhirat. Sebab itu tidak pelik walau pun biasa mengamalkan adab dan sudah menjadi amalan harian, ada ketikanya umat Islam masih lagi terlupa untuk membaca doa dan mempraktikan amalannya.
Usaha pertama dalam membangunkan anak-anak dengan tatacara kehidupan beradab ialah dengan mengajarkan doa yang disunatkan untuk kita berdoa dalam melakukan sesuatu amalan harian. Justeru, sebagai satu proses pendidikan, bapa sebagai ketua keluarga perlu membacakan doa dengan kuat supaya ibu dan anak-anak boleh dengar dan mengikuti dengan baik doa yang diperdengarkan. Mengajar doa harian ini jangan dalam bentuk yang memaksa kepada anak-anak. Tetapi hendaklah diterapkan dengan keadaan santai dan bersahaja. Doa yang dibacakan pada peringkat awal mestilah dengan pendek-pendek, satu atau dua perkataan sekali supaya boleh diikut oleh isteri dan anak. Peringkat kedua setelah anak boleh mengikut dengan baik, bacaan doa tersebut disambung kepada lebih panjang, iaitu tiga atau empat perkataan sekali.
Setelah beberapa ketika Doa yang diperdengarkan hari-hari ketika menaiki kenderaan, turun kenderaan, masuk dan keluar rumah, memula dan menyudahkan makanan, berpagi dan berpetang, ketika hujan turun, ketika menaiki jambatan, dan lain-lain, jika tidak seminggu, dua minggu, atau sebulan hingga ke beberapa bulan, akhirnya semua doa-doa ini akan diingati dengan baik oleh isteri dan anak-anak.

Sekalipun sesuatu doa itu panjang, tetapi jika diperdengarkan secara berterusan daripada mulut sang ayah, akhirnya isteri dan anak akan dapat menghafalnya dengan baik dan sempurna. Satu perkara yang penting juga, iaitu tumpuan usaha perlu dilipat gandakan kepada anak yang pertama atau sulong untuk mengingati doa harian yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. ini secara berterusan, ini kerana anak pertama sangat membantu adik-adiknya untuk mengingati doa yang telah dihafalnya dengan lebih praktikal dan bersahaja serta menggunakan bahasa kanak-kanak yang mudah diikuti oleh adik-adiknya berbanding cara bacaaan ibu dan ayah mereka.
Ketika tahap ini, kadang-kadang anak ini menjadi pengingat kepada ayah dan ibu serta adik-adiknya agar berdoa ketika dia bertemu dengan sesuatu situasi yang perlukan bacaan doa. Sebaliknya pula jika anak ini lupa, ibu atau ayah pula berpesan untuk membaca doa antara mereka dan berpesan kepada anak-anak. Dengan ini, amalan doa ini akan terus dapat diamal dan dijayakan pengamalannya tanpa henti. Begitu juga doa ini juga perlu dibaca sama ada ketika bersama ahli keluarga sendiri atau ada orang luar yang menyertai keluarga. Ini juga merupakan satu proses pendidikan kepada ahli keluarga sendiri dan ahli keluarga orang lain.

Pengalaman seorang pengamal doa ini mendapati doa yang selalu diajarkan kepada anak-anaknya mampu pula mendorong ibu bapa mertua, dan ipar duai yang menumpang sekali dalam keluarganya ketika berpegian bersama ahli keluarganya untuk mengamalkannya pula dalam keluarga mereka atau keluarga baru mereka. Mungkin kerana malu atau mungkin kerana seronok melihat dan mendapati anak-anak kecil sekalipun doa itu panjang sudah boleh menghafal dan mengamalkannya dalam kehidupan harian mereka berbanding mereka yang lebih dewasa yang masih belum mampu menghafal dan mengamalkannya.
Perkara kedua pula mengikuti adab yang berbentuk tingkah laku Rasulullah s.a.w. Perkara asas dalam tingkah laku ini ialah mengajarkan anak-anak dengan memulakan sesuatu perbuatan yang baik dengan dimulakan dengan tangan atau kaki kanan. Ini kerana Rasulullah s.a.w. amat memberati perkara ini dalam banyak perkara kehidupan beliau. Satu hadis menjelaskan (al-Bukhari, 1994: 408; Muslim, 2001: 395; al-Tarmidhi, 1994: 553; Ibn Majah, t.thn.: 395):

أن رسول الله كان يحب التيمن في طهوره إذا تطهر وفي ترجله إذا ترجل وفي انتعاله إذا انتعل
Terjemahan: “Bahawa Nabi s.a.w. adalah suka mendahulukan anggota kanan ketika bersuci, melangkah dan memakai kasut.”(Muslim)

Dalam riwayat al-Nasa’i (t.thn.: 418 dan 4973) dan Abu Dawud (1994: 3611) terdapat tambahan “Dengan setiap perkara atau urusan yang baik (Baginda s.a.w. sedaya upaya menggunakan sebelah kanannya).” Namun cuba perhatikan bayi anda, secara purata pada pandangan penulis yang telah memiliki empat orang anak, anak-anak ini sejak bayi akan suka memegang sesuatu dengan tangan kiri mereka. Sama ada memegang botol susu atau memegang biskut, mereka memegang dengan tangan kiri. Begitu juga apabila mereka hendak menyarungkan kaki untuk memakai kasut atau selipar, mereka terdorong untuk menyarungkan kaki kiri dahulu. Perlakuan ini, mungkin dorongan daripada bisikan syaitan kerana perlakuan anak ini merupakan amalan syaitan yang ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w. yang menjelaskan (Muslim, 2001: 3764; Abu Dawud, 1994: 3283; Ahmad, 1994: 4309),

عَنْ ابْنِ عُمَرَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ قَالَ إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَأْكُلْ بِيَمِينِهِ وَإِذَا شَرِبَ فَلْيَشْرَبْ بِيَمِينِهِ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَأْكُلُ بِشِمَالِهِ وَيَشْرَبُ بِشِمَالهِ
Terjemahan: Ibn ‘Umar r.a. berkata, “Rasulullah s.a.w. bersabda, “Apabila seorang kamu makan, hendaklah dia makan dengan tangan kanannya dan dan apabila seorang kamu minum, hendaklah dia minum dengan tangan kirinya. Ini kerana sesungguhnya syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya.”(Muslim) Ini menunjukkan bahawa perlakuan anak makan dan minum dengan tangan kiri ini sangat bertentangan dengan hadis bahkan dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w. begitu marah dengan menggunakan tangan kiri ini dalam sabdanya (Muslim, 2001: 3766):

عَنْ ابْنُ سَلَمَةَ بْنِ الْأَكْوَعِ أَنَّ أَبَاهُ حَدَّثَهُ أَنَّ رَجُلًا أَكَلَ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ بِشِمَالِهِ فَقَالَ كُلْ بِيَمِينِكَ قَالَ لَا أَسْتَطِيعُ قَالَ لَا اسْتَطَعْتَ مَا مَنَعَهُ إِلَّا الْكِبْرُ قَالَ فَمَا رَفَعَهَا إِلَى فِيهِ
Terjemahan: Ibn Salmah bin al-Akwa‘ katanya “Bapanya menceritakan perihal seorang lelaki yang makan bersama Rasulullah s.a.w. dengan kirinya. Lalu Rasulullah s.a.w. menasihatinya, “Makanlah dengan tangan kananmu.” Lelaki itu memberi alasan, “Aku tidak terdaya.” Rasulullah membalas, “Kamu tidak berdaya? Sebenarnya apa yang menegahmu menggunakan tangan kiri adalah kerana sifat sombongmu!” Perawi berkata, “Sejak daripada itu, dia benar-benar tidak berdaya mengangkat tangan kanan ke mulutnya.” (Muslim)

Oleh itu, untuk mendidik mereka dengan kebiasaan adab menggunakan tangan dan kaki kanan sebagai ayah atau ibu, mereka perlu tukarkan pegangan anak terhadap makanan daripada tangan kiri ke tangan kanan mereka sambil berpesan agar menggunakan tangan kanan dan elakkan daripada menggunakan tangan kiri. Pesanan hendaklah pendek, ringkas dan jelas seperti “Kakak! Gunakan tangan kanan”, “Sofiah, sarung kaki kanan dulu”. Tindakan ini, perlu diajarkan sekalipun anak itu belum boleh bercakap.

Pesanan ini, perlu dilakukan berterusan sejak anak mula memegang makanan mereka atau mula menyarungkan kaki ke dalam kasut atau selipar sehinggalah sampai satu tahap mereka janggal untuk memegang dengan tangan kiri atau menyarung dengan kaki kiri dahulu. Dalam proses ini, didapati anak yang belum boleh bercakap sekalipun jika selalu ditukarkan pegangan tangan mereka dari tangan kiri ke tangan kanan atau membantu menyarungkan kaki kanan dahulu berbanding kaki kiri disamping pesanan ingatan, mereka akan melakukan sendiri dengan hanya berpesan kepada mereka...bersambung..

0 comments:

Related Posts with Thumbnails