Monday, January 26, 2009

Penghayatan Adab Dlm Keluarga 2

Amalan kehidupan yang lain boleh ditunjukkan dalam bentuk nasihat yang pendek dan jelas. Sebagai contoh ketika berkenderaan, ayah boleh jelaskan secara ringkas “Jangan lupa ketika pijak kereta baca bismillah”. Apabila mendapati anak membaca doa ketika sebelum kenderaan bergerak, ayah menegur “Kakak! Baca doa selepas kenderaan bergerak”. Begitu juga ketika beberapa langkah hendak masuk ke rumah ayah boleh berpesan, “Okey! Kita baca doa masuk rumah sama-sama sekarang” dan ayah memberi salam. Jika ayah atau ibu mendapati anak tidak beri salam dan masuk ke rumah dengan pijakan kaki kiri, ayah atau ibu boleh menegur, "Hah! Kakak lupa beri salam dan masuk rumah dengan kaki kanan. Betulkan semula.” Ketika makan misalnya, jika anak hendak menjamah dahulu makanan sebelum ibu bapa menjamahnya, ayah boleh berpesan "Kakak utamakan orang yang lebih tua untuk menjamah makanan dahulu”. Semua proses ini merupakan proses semulajadi yang berbentuk praktikal yang memerlukan proses yang berterusan sehingga setiap amalan adab Rasulullah s.a.w. menjadi satu kebiasaan. Hatta, sekalipun telah menjadi amalan, jika lupa sesiapa sahaja yang ingat di kalangan ibu, ayah dan anak boleh berpesan antara satu sama lain dan tidak menjadi satu kesalahan seorang ibu atau ayah menerima ingatan daripada seorang anak kecil. Ini juga satu bentuk pendidikan.

Peringkat seterusnya pula, ibu atau bapa perlu menjelaskan sebab, kesan dan kelebihan setiap doa dan tindakan yang disuruh kepada anak untuk dilakukan supaya anak tadi tidak melakukannya dengan istilah ‘membabi buta’ atau taklid tanpa mengetahui sebab dan akibat perlakuan mereka. Penerangan tentang sebab dan akibat ini termasuklah balasan ganjaran dan kelebihan yang dijanjikan oleh Allah kepada Untuk memberi kefahaman ini, pemilihan waktu perlu tepat dan bersahaja. Pilihlah waktu ketika sedang berkenderaan dengan mereka dalam perjalanan yang panjang seperti balik kampung atau ketika waktu makan atau ketika berbual sebelum tidur.

Kanak-kanak adalah merupakan peringkat kejadian yang istimewa. Pada peringkat ini perasaan ingin tahu mereka sangat tinggi. Namun begitu, jika kita selaku ibu bapa mendidik mereka secara terlalu formal, didikan ini kurang berkesan. Hal ini berbeza kalau mereka pelajari di kelas tadika bersama-sama dengan kawan-kawan yang sebaya mereka yang telah disetkan dalam minda mereka bahawa ‘itu sekolah tempat saya belajar dan bermain’. Oleh itu, jika ibu atau bapa ingin menjelaskan kepada anak, cubalah bangkitkan perasaan ingin tahu mereka dengan bertanya soalan yang menyentuh ajaran adab kehidupan yang dipraktikkan mereka. Soalan perlulah mudah dan ringkas untuk peringkat mereka fahami.

Antara soalan yang boleh dikemukan adalah seperti “Kakak! Cuba kakak fikir kenapa kita kena baca doa apabila naik kereta?” “Anisah! Anisah tahu tak kenapa kita kena makan dengan tangan kanan?” “Anas tahu tak kenapa bila kita masuk rumah, kita kena baca doa dan beri salam?” Soalan seperti ini jika kena pada waktunya akan direspon oleh anak secara spontan bahawa mereka tidak tahu. Pada masa ini barulah ibu bapa menjelaskan secara mudah kenapa mereka berdoa dan bertindak mengikut lunas-lunas adab. Apa yang lebih penting kaitkan dengan perkataan “Inilah yang Nabi Ajar supaya....” jelaskan petikan hadis tentang peri penting setiap amalan tersebut dengan apa yang dibaca dan dilakukan dengan bahasa kanak-kanak yang mudah dan ringkas.

Namun ibu bapa perlu berwaspada tentang fakta yang betul daripada huraian sebagaimana yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. daripada hadis dan sunahnya dan tidak menambah-nambah fakta sendiri melainkan sesuatu yang dalam bentuk sains dan rasional. Sebagai contoh jawapan terhadap soalan “Kakak! Cuba kakak fikir kenapa kita kena baca doa apabila naik kereta?” boleh dijawab dengan bersandarkan hadis abu Dawud (1994: 599/2) secara ringkasnya "Allah gembira terhadap hambanya yang memohon ampun ketika berkenderaan dengan menyatakan kebanggaan-Nya kepada malaikat dengan firman-Nya "dia memang tahu tidak ada yang boleh mengampunkan dosa melainkan daku”. Sedangkan jawapan terhadap sesuatu soalan yang berbentuk sains dan rasional boleh dihuraikan secara lebih mencapah tetapi tetap menekankan penggunaan bahasa yang mudah dan ringkas seperti soalan kepada anak “kenapa kena basuh tangan sebelum makan?” boleh dijelaskan bahawa tangan kita kotor dengan pelbagai kuman yang boleh menyebabkan sakit perut atau cirit birit. Dalam menyatakan fakta ini, fakta tidak perlu setepat sebagaimana jika bersandarkan dalil daripada hadis.

Mengapa dalam menghuraikan sebab akibat atau tujuan doa serta amalan adab perlukan ketepatan fakta jika ingin disandarkan kepada hadis atau sunah nabi? Ini kerana Rasulullah s.a.w. sangat melarang menyatakan sesuatu fakta yang disandarkan kepadanya dalam keadaan faktanya salah atau terkandung pembohongan. Rasulullah s.a.w. bersabda (al-Bukhari, 1994: 107; Muslim, 2001: 4; al-Tarmidhi, 1994: 2148; Abu Dawud, 1994: 3166; Ibn Majah, t.thn.: 30; Ahmad, 1994: 551; al-Darimi, t.thn.: 233):

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ.

Terjemahan: Abu Hurairah r.a. berkata, “Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesiapa yang berbohong dengan menggunakan namaku secara sengaja, maka dia sebenarnya menempah tempat tinggalnya dalam api neraka.”

Justeru, ibu bapa perlu mengetahui serba sedikit kenapa dan mengapa setiap doa dan amalan adab kehidupan perlu dilakukan seperti yang dihuraikan oleh hadis dan sunah dengan membuat sedikit pembacaan daripada kitab muktabar seperti Riyad al-Salihin, al-Azkar karang Imam al-Nawawi dan Ihya’ ‘Ulum al-Din karangan Imam al-Ghazali serta Tarbiyat al-Aulad karangan ‘Abdullah Nasih ‘Ulwan sama ada yang berbahasa arab atau yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Ibu bapa pula jangan sampai terlalu takut dengan hadis ini sampai enggan mengaitkan sebab akibat dengan hadis dan sunnah. Ini kerana perkaitan ini juga merupakan satu proses pendidikan, iaitu mendatangkan rasa keyakinan dan penghormatan anak terhadap ketinggian kedudukan Rasulullah s.a.w. yang sewajarnya dijadikan idola dalam kehidupan seharian.

Sebagaimana dalam mengajar doa dan adab, anak sulung juga merupakan aset penting dalam mendidik adik-adiknya pula dalam menghuraikan tujuan serta matlamat berdoa dan melakukan amalan adab kepada terhadap adik-adiknya. Soalan ulangan boleh dikemukakan kepada anak sulong dengan maksud menerangkan kepada adik-adiknya. Sebagai contoh ibu bapa boleh mengemukakan soalan kepada kakak yang sulong “Kakak! jelaskan kepada adik kenapa kita kena baca doa dan memberi salam ketika masuk ke dalam rumah”. Insyaallah, anak yang sulong ini akan menjelaskan dengan kata-katanya yang mudah dan intonasinya yang menarik, antaranya mungkin dia akan berkata “Nanti syaitan yang ikut kita tidak boleh masuk ke dalam rumah bersama-sama kita”. Bahasa seperti ini mudah dan senang ditangkap oleh adik-adiknya apatah lagi diterangkan dalam lenggok dan nada kanak-kanak. Pada ketika ini, peranan ibu bapa hanya perlu memastikan faktanya mestilah betul dan tepat walaupun dia menggunakan bahasa kanak-kanak.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails