Tuesday, April 20, 2010

DYMM Sultan Johor mencemar duli ke Mesir

Alhamdulilah selesai sudah perasmian Asrama Pelajar Johor di Mesir yang kedua bertempat di Rabea Adawiya. Majlis perasmian dilancarkan oleh DYMM Tuanku Sultan Ibrahim ibnu Almarhum Sultan Iskandar bertepatan dengan tarikh 17 April 2010 bersamaan 3 Jamadil Awal 1431 Hijrah. DYMM Tuanku Sultan Johor sanggup mencemar duli semata-mata hendak merasmikan bangunan asrama dan disamping itu hendak mengerjakan umrah ke Mekkah setelah dua hari disini.





Tahniah kepada Mahasiswa-mahasiswi johor di mesir kerana dapat memberi kerjasama yang terbaik dalam menguruskan persiapan dan persembahan bagi menyambut kedatangan DYMM Sultan Johor beserta Exco-Exco kerajaan Johor. Sempena perasmian bangunan ini DYMM Sultan Johor berharap para mahasiswa dapat mengunakan dan menjaga asrama tersebut dengan sebaik-baiknya agar dapat di manfaatkan oleh generasi-generasi seterusnya.




Wednesday, April 14, 2010

Ezzatun nafsi sumber kekuatan diri

Seharian semalam saya menghadiri Muktamar Sanawi ( Perhimpunan Agung Tahunan) persatuan yang dinaungi di pelembahan nil ini. Bermula seawal jam 7 pagi saya sudah berada disana, alhamdulilah perjalanan dimudahkanNya kerana kurang kesesakan jalanraya. Pagi-pagi ini orang arab sebahagiannya masih dibuai lena embunan. Mereka bermula kerja lebih kurang jam 9 pagi.

Bertempat di Nadi ar-Riadi ( kompleks sukan) berhadapan dengan kuliah perubatan al-azhar, muktamar kali ke -77 ini telah diadakan. Seperti tahun-tahun yang lepas tempat ini menjadi pilihan untuk menghimpunkan seluruh mahasiswa-mahasiswi al-azhar di bidang pengajian islam amnya dan juga di bidang perubatan. Setiap Badan kebajian anak negeri dan Dewan perwakilan Mahasiswa di cawangan menghantar perwakilan masing-masing.

Perjalanan muktamar bermula dengan lancar. Gimik perasmian yang dipersembahkan sungguh mengujakan dengan tayangan video dan lukisan karikatur badan pengurus sesi 2009. Perbahasan usul-usul tergempar, perbahasan ucapan dasar presiden dan perletakan jawatan serta pelantikan badan pengurus yang baru sehingga ke akhir majlis penutup tetap berjalan dengan lancar. Tahniah.

Bukan disini ingin saya nukilkan berkenaan peristiwa tersebut tetapi bagaimana tanggungjawab dan amanah kita sebagai pemimpin mahupun ahli melaksanakan tugas-tugas yang diberikan. Jangan sesekali ada sifat bermegah diri dan menunding jari bila berlaku sesuatu perkara. Kita sebagai pelajar agama perlu bersifat ezzatun nafsi iaitu kemuliaan diri.

Ezzatun Nafsi ialah bila kita dapat memiliki diri kita sendiri, dapat mengawal nafsu serta punya keyakinan dan kedamaian hati. Jangan rasa rendah diri hanya kerana tidak memilik kekayaan mahupun kekuasaan. Contohilah sifat-sifat masyaikh dan ulama' kita yang terdahulu.


Suatu ketika (sekitar tahun 1930an ),Shiekhul Azhar sedang duduk menyandarkan belakangnya ke dinding Masjid Al Azhar (tempat asal Universiti Al Azhar) sambil menjulurkan kakinya.Sedang beliau merehatkan diri, beliau lihat kedatangan Sultan Abdul Aziz Raja Saudi. Baginda ketika itu dalam rangka lawatan ke Mesir. Baginda datang dengan diiringi pembesar Mesir Khidive Ismail.

Shiekhul Azhar tidak menunjuk sebarang rasa terkejut maupun bangun menyambut kedatangan Sultan Abdul Aziz. Melihat keadaan sedemikian, Khidive Ismail mengarahkan seorang kanannya membawa sejumlah wang yang banyak dan memberikannya kepada Shiekhul Azhar dengan tujuan agar Shiekh tersebut mengetahui kedudukannya.

Apabila orang kanan Khidive berjumpa Shiekhul Azhar, Shiekh tersebut telah memegang tangan orang itu sambil berkata :

"Khabarkan kepada orang yang mengutusmu, sesungguhnya orang yang menjulurkan kaki tidak sesekali akan menghulur tangannya(meminta-minta)".

Lihatlah sebesar manapun pangkat orang itu atau ganjaran yang diberikan, tidak sesekali syeikh menundukkan dirinya. Tidaklah bermakna syeikh tidak menghormati tetamu tetapi sesungguhnya syeikh lebih mengetahui akan sifat yang ada dalam diri pemimpin tersebut. Sekali menunduk pasti akan selamanya tersungkur. Wallahu'alam.

sumber : ezzatun nafsi

Monday, April 12, 2010

Mutiara disini atau disana?

Perjalanan pulang dari kuliah ke rumah sekitar 20 minit itu terasa agak lama, dengan panas terik membahang dan perut berkeroncong kelaparan. Saya teruskan langkah perlahan-lahan menyusur dibawah jambatan. Redup. Sedang-sedang berjalan saya terpijak plastik bungkusan makanan yang sudah tidak berisi. Perut yang berkeroncong semakin nyaring menyanyi, meminta diisi sesuatu. Tiba-tiba teringat pula kisah yang diceritakan oleh ustaz semasa di sekolah menengah dahulu.

Kisah
Seorang lelaki kelaparan.Perutnya merengek minta diisi. Tiba-tiba terpijak satu bungkusan kain.Entah siapa punya. Lalu di bawa ke rumah. Namun di dalam bungkusan itu bukan makanan.Cuma sebutir mutiara.

Lapar tadi tidak menjadi tumpuan.Sekarang masa mencari empunya mutiara.Meronda kakinya menjejaki sehinggalah berjumpa seorang yang meninggikan suara : Siapa yang memulangkan mutiaraku, aku akan beri dia lima ratus dinar”.

Setelah diuji lelaki yang bersuara memang benar bungkusan itu kepunyaannya. Lalu dipulangkan tanpa minta upah.Walau beberapa kali dipaksa mengambil ganjaran namun ia tetap enggan.

Dipendekan cerita lelaki tadi berada di sebuah pulau kerana kapalnya karam dalam pelayarannya.Dipulau itu dia memberikan dakwah.Akhirnya disuruh menikah dengan salah seorang wanita di pulau itu Setelah menikah,lelaki itu mendapati ada sebiji mutiara di rantai leher wanita yang baru menjadi isterinya. Bila ditanya, rupanya ia adalah anak bagi lelaki yang kehilangan mutiara itu.


Pendoman
Kisah ini bukan untuk cerita tentang mutiara,wanita,atau apa sebagainya. Tapi ia mengenai kehidupan kita sebagai insan. Dalam kita sibuk mencari habuan dunia.Allah menguji kita.Di kala itu kita jelas dengan watak kita di sisi Allah.

Mutiara itu hanyalah ganjaran awal di dunia ini.Jika kita sudah berpuas hati dengan habuan ini pasti kita kehilangan habuan sebenar di akhirat.Dunia ini hanya Amanah. Ada tuntutan dan perhitungan di dalamnya.Jika kita laksanakan dan serahkankan pada yang haq, pastilah Al Haq ( Allah) redha dan menjanjikan kita dengan jodoh kita iaitu syurga impian.

Memang, sebelum jodoh kita sampai, kita diambang kesusahan untuk melepasi ranjau akhirat yang sukar.Namun bila kita sudah menemui jodoh kita, segala kesulitan yang pernah kita lalui itu akan hilang bagai mimpi.

Saturday, April 3, 2010

Ajaib - Bersolat hanya sebelah kaki?!!



Saksikan paparan video diatas, seorang pakcik berumur lingkungan 60 tahun sedang bersolat di masjid nabawi. Apa yang istimewanya video ini? Pakcik tersebut yang berasal dari turkey datang untuk menunaikan ibadah haji@umrah dilihat sedang bersolat hanya dengan sebelah kakinya sahaja. Sungguh Ajaib..Salah seorang daripada jemaah haji sempat merakamkan tatacara beliau bersolat itu. Solatnya seperti orang biasa yang mempunyai kedua-dua belah kaki, berdiri tegak tidak condong ataupun tergerak-gerak hendak jatuh. kukuh sungguh kakinya.

Cuba lihat jemaah dihadapan beliau, walaupun mempunyai kedua-dua belah kaki tapi mereka bersolat dengan duduk dikerusi. Memang tidak menjadi kesalahan tapi jika dikutkan beliau lebih berhak bersolat dengan cara duduk. Kuat sungguh kakinya menampung berat badan walaupun sudah berusia, khusyuk solatnya tidak memandang kiri atau kanan.

Bagaimana pula kita ini, masih dikurniakan nikmat tetapi kurang bersyukur, solat pun dilewat-lewatkan bahkan ada yang meninggalkannya tanpa sebab. Kan solat itu tiang agama, bagaimana rumah kita jika tanpa tiangnya, pasti runtuhkan?! Fikir-fikirkan dan renung-renungkanlah bersama. Wallahualam.
Related Posts with Thumbnails