
Tatacara kehidupan beradab Rasulullah s.a.w. terdiri dalam bentuk doa-doa harian dan amalan harian. Doa harian ini termasuklah doa ketika bangun tidur, doa sebelum masuk dan selepas keluar tandas, doa dipagi hari, doa keluar rumah, doa naik kenderaan, doa turun kenderaan, doa sebelum dan selepas makan, doa waktu petang, doa ketika masuk ke rumah, dan doa sebelum tidur. Semua doa ini sememangnya seorang Islam akan lalui sehari-hari. Justeru doa ini perlu diingati dan diamalkan apabila melakukannya. Bagi yang sudah berkeluarga, doa-doa asas dalam pembentukan keluarga pula perlu ditambah mengikut keperluan kekeluargaan.
Manakala amalan harian pula menyentuh tentang amalan dan adab yang sewajarnya dilakukan di samping doa yang dinyatakan di atas. Sebagai contoh apabila seorang bangun tidur di samping membaca doa bangun tidur ini (al-Bukhari, 1994: 5837; Muslim, 2001: 4886; Ibn Majah, t.thn.: 3870; Ahmad, 1994: 20404; al-Darimi, t.thn.: 2570):
Terjemahan: Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami selepas mematikan kami dan kepada-Nya tempat kembali.
Terjemahan: Abu Hurairah r.a. melaporkan Rasulullah s.a.w. bersabda, “Syaitan mengikat di tengkuk kamu ketika sedang tidur dengan tiga rantai pada malam yang panjang. Oleh itu, uraikanlah, pertamanya apabila dia bangun dan mengingati Allah S.W.T. (dengan doa) terbukalah satu ikatan. Kemudian apabila dia berwuduk, terbukalah satu lagi ikatan. Selepas itu, apabila dia bersolat, terbukalah ikatan terakhir. (Dengan terbukanya semua ikatan tersebut) jadilah paginya dalam keadaan bijaksana dan baik nafsu dan dirinya. Jika tidak, jadilah paginya buruk nafsunya dan malas sifatnya.”
(Al-Bukhari)
Dalam tulisan ini penulis tidak akan menyatakan secara mendalam tatacara adab dan doa yang hendak dipraktikkan kerana tumpuan tulisan ini adalah untuk melihat kepentingan tatacara kehidupan beradab tersebut dan bagaimana untuk membangunkan tatacara adab tersebut dalam keluarga secara praktikal. Manakala bagi mengetahui isi doa dan amalan adab tersebut, para pembaca boleh mendapatkannya dalam buku yang lain yang banyak dibincangkan oleh penulis yang lain. Penulis sendiri mempunyai keazaman untuk menyusun satu buku lengkap tatacara adab ini dengan bersandarkan dalil dan hukum mengikut pandangan ulama di lain kesempatan bagi memberikan alternatif kepada pembaca dalam memilih bahan bacaan untuk pembangunan adab kehidupan Rasulullah s.a.w. ini.
0 comments:
Post a Comment