Friday, November 27, 2009

simfoni aidiladha

Allahu akhbar..Allahu akhbar...Allahu akhbar walillahilham..
Sayup-sayup takbir bergema memecah ruang angkasa melaungkan kebesaranNya. Sejak semalam lagi sudah kedengaran di hari Arafah 9hb zulhijjah. Laungan takbir lunak merdu si imam disahut oleh sekalian makmum yang menyertainya. Seiring dan sekata.

Aku masih termanggu dibirai katil, leka mendengar takbir bersahut-sahutan di antara masjid-masjid berdekatan. Sayu dan hiba menusuk jiwa. Aku bingkas bangun menyarung sehelai jubah cream dipadankan dengan sweater biru berjenama cheetah milik along semasa dia belajar di UTM dahulu. Cuaca diluar sungguh sejuk, jika tidak memakai sweater pasti menggigil kebekuan. Subuh tadi langit berdentam-dentum diiringi hujan renyai-renyai.

Jalan raya lengang dengan kenderaan tapi penuh dibasahi hujan pagi tadi. Walaupun hujan sudah reda tetapi angin tetap bertiup dingin, terasa hingga ke tulang. Aku melangkah masuk ke masjid, masih tidak ramai jemaah yang datang. Hanya tiga saf awal kukira-kira itupun renggang-renggang. Kulihat jam menunjukan jam 6.40, mungkin sebentar lagi mereka datang kerana solat sunat aidiladha akan dimulakan pada jam 7.00 tepat. Imam yang mengumumkannya selesai solat subuh tadi. Takbir masih lagi berkumandang selagi imam belum menyuruh jemaah bangun untuk solat. Jika diikutkan takbir disini lebih bersemangat daripada laungan takbir di tanah air tercinta. Di Malaysia, takbir dilaungkan dengan alunan sayu seperti menangisi pemergian insan tersayang padahal takbir adalah untuk meraikan kemenangan, perlu bersemangat dan berwibawa.

Tepat jam 7.00 waktu mesir, solat sunat Aidiladha dimulakan. Jemaah semua bangun memenuhkan ruang yang kosong, merapatkan saff antara bahu ke bahu. Imam memulakan rakaat pertama dengan tujuh kali takbir dan lima kali takbir pada rakaat kedua. Alunan merdu suara imam mengalunkan bacaan ayat-ayat suci menyegarkan jiwa setiap yang mendengarnya. Tenang. Selesai solat, imam berdiri diatas mimbar menyampaikan khutbah dimulai dengan takbir Allahu akhbar...Allahu akhbar. Si Imam mengupas tajuk berkenaan peristiwa didalam bulan Zulhijjah dimana hari Wida' Nabi yang terakhir jatuh pada tanggal 8hb. Sedih sungguh hati bila mengenangkan peristiwa yang berlaku keatas Junjungan kita Nabi S.A.W, penuh cekal dan tabah Baginda menghadapinya. Bertambah hiba lagi bila imam membacakan khutbah terakhir Rasulullah SAW yang disampaikan pada 9 Zulhijjah Tahun ke 10 Hijrah di Lembah Uranah, Gunung Arafah. Cara penyampaiannya itu membuatkan kurasa seolah-olah berada pada zaman dikelilingi para sahabat dengan suara esakan tangisan memenuhi lembah itu. Khusyuk aku mendengarnya hinggakan khutbah yang panjang terasa singkat.
.....bersambung

1 comments:

antarkus said...

bila nak kuar novel sendiri lak? dah asyik promote novel orang? huhu

Related Posts with Thumbnails